KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah pengendali PJ City FC, P.Maniam selepas pasukannya berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada Khamis.

Meskipun ketinggalan dua kali, PJ City berjaya bangkit dengan gol penyamaan pada minit terakhir permainan untuk menafikan JDT tiga mata penuh dan mengutip satu mata berharga.

“Tiada siapa menyangka kami boleh seri dalam perlawanan ini. Sebagai jurulatih, saya gembira dengan keputusan ini dan berharap pihak pengurusan juga gembira dengan kejayaan ini. Meskipun seri kami menganggapnya seperti kemenangan dan akan meraikan keputusan ini.

“JDT adalah pasukan yang bagus dan mereka mendominasi perlawanan. Kami bermain secara berdisiplin dan tidak bolos pada babak pertama dan kami berjaya jaringkan gol pada penghujung perlawanan. Saya berbangga dengan para pemain saya.

“Kita boleh nampak pemain bermain dengan penuh semangat dan tunjuk satu karektor yang bagus dengan semua pemain memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini,” kata Maniam dalam sidang media selepas perlawanan.

Maniam turut gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pemain simpanannya yang dilihat mampu mengubah pasukan dan memuji tindakan penjaga golnya, Kalamullah Al Hafiz yang berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya JDT.

PJ City akan meraikan keputusan ini dan akan bercuti selama tiga hari sebelum kembali berlatih sebagai persiapan untuk menghadapi Kedah Darul Aman selepas liga bersambung semula pada 1 Oktober 2022.