Persekutuan Angkat Berat Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 selepas sembilan atlet negara berjaya meraih slot kelayakan.
Presidennya, Ayub Rahmat berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet negara yang semakin konsisten di pentas antarabangsa serta rekod cemerlang angkat berat sebagai penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia.
“PABM menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam temasya kali ini berdasarkan prestasi semasa atlet-atlet negara yang semakin konsisten di peringkat antarabangsa.
“Sukan angkat berat sentiasa menjadi antara penyumbang pingat emas negara khususnya di Sukan Komanwel dan turut konsisten menyumbang pingat di temasya lain seperti Sukan SEA,” katanya.
Dua atlet yang layak secara automatik ialah Muhamad Aznil Bidin (65kg) dan Mohamad Syahmi (88kg), manakala tujuh lagi atlet berada dalam senarai kelayakan awal berdasarkan ranking Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Bagaimanapun, Ayub mengakui prestasi keseluruhan atlet pada kejohanan kelayakan di Ahmedabad masih belum mencapai tahap sebenar dan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi prestasi, konsistensi serta kekuatan mental.
“Kita tidak mahu sekadar layak. Kita mahu hadir sebagai pencabar pingat emas dan memberikan saingan sebenar kepada negara-negara lain,” katanya.