PRESTASI skuad perseorangan lelaki negara kembali mengundang persoalan selepas beberapa keputusan mengecewakan yang terus menghantui kem negara.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen, menyifatkan masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki sekiranya pemain mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi.
Menurut beliau, aksi yang dipamerkan pemain pada perlawanan terbaru jelas menunjukkan beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian segera, terutama dari aspek pengurusan permainan dan tekanan di gelanggang.
“Kami gagal mendapatkan sokongan penyokong untuk tempoh yang cukup lama bagi memberi tekanan kepada pihak lawan. Sebaliknya, kami sendiri yang menghentikan momentum apabila melakukan kesilapan-kesilapan mudah,” katanya.
Jonassen menjelaskan pemain negara ketika ini dilihat terlalu bergantung kepada permainan berasaskan serangan dan pukulan-pukulan agresif sedangkan corak badminton moden lebih memerlukan konsistensi untuk mengekalkan tekanan terhadap lawan.
“Konsistensi adalah kunci utama. Kami tidak boleh bergantung kepada serangan semata-mata untuk memenangi setiap mata,” katanya.
Tambah beliau, pemain juga perlu lebih percaya kepada sistem permainan sendiri dan tidak terlalu mencari penyelesaian pantas apabila berdepan situasi sukar di atas gelanggang.
Dalam masa sama, beliau turut mengakui keyakinan pemain perseorangan lelaki masih belum berada pada tahap terbaik dan perkara itu memberi kesan terhadap persembahan mereka.
“Perkara yang paling jelas dipamerkan hari ini ialah kekurangan keyakinan dalam kalangan pemain perseorangan lelaki,” katanya lagi.
Mengulas lebih lanjut, Jonassen menegaskan disiplin menjadi asas paling penting dalam usaha melahirkan pemain bertaraf dunia, malah beliau percaya peningkatan kecil dalam pelbagai aspek mampu menghasilkan perubahan besar pada masa depan.
“Saya percaya disiplin merupakan elemen paling penting. Ia perlu datang sebelum segala-galanya,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau memuji perkembangan skuad perseorangan wanita yang menurutnya lebih terbuka menerima perubahan dan sanggup melalui proses pembangunan jangka panjang.
“Skuad wanita lebih terbuka untuk melalui proses jangka panjang walaupun hasilnya mungkin tidak hadir hari ini atau esok, tetapi akan membawa sesuatu yang baik pada masa hadapan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Jonassen menegaskan jurulatih hanya mampu menyediakan pelan dan bimbingan, namun perubahan sebenar perlu datang daripada pemain sendiri.
“Saya tidak boleh mengubah mereka. Siapa yang boleh mengubah mereka? Diri mereka sendiri,” katanya.