Kredit Gambar: KBS Malaysia
Penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 masih belum mendapat lampu hijau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan isu penajaan membabitkan syarikat minuman beralkohol yang dikaitkan dengan acara berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan kementerian tidak akan meluluskan penganjuran itu selagi tajaan berkenaan tidak ditarik balik sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Acara yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur masih berada dalam peringkat permohonan dan belum menerima kelulusan rasmi KBS.
Beliau turut menjelaskan bahawa kementerian tidak menyalurkan sebarang peruntukan kewangan bagi menjayakan penganjuran acara tersebut.
Pendirian KBS itu dibuat berdasarkan Kod Sukan Selamat yang menetapkan larangan terhadap syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau memaparkan jenama mereka dalam acara sukan yang mendapat kelulusan atau sokongan kementerian.
Justeru, penganjur perlu mengambil tindakan menyeluruh dengan menggugurkan tajaan berkenaan, termasuk menurunkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada platform rasmi acara serta kawasan pertandingan.
Dalam perkembangan sama, KBS turut mengingatkan penganjur mengenai kewajipan mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997.
Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh mengundang tindakan undang-undang, termasuk denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun, ataupun kedua-duanya sekali.
KBS menegaskan bahawa semua penganjur sukan perlu mematuhi peraturan ditetapkan tanpa sebarang pengecualian bagi memastikan ekosistem sukan negara kekal selamat dan sihat untuk semua pihak.