SELANGOR FC mengesahkan bahawa Tan Cheng Hoe akan kekal sebagai ketua jurulatih bagi membantu Gergasi Merah lebih cemerlang pada musim Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25.
Cheng Hoe yang mula mengemudi Selangor pada pertengahan musim 2022 berjaya membawa The Red Giants muncul naib juara Piala Malaysia 2022 dan tempat kedua Liga Super 2023 sekali gus mengembalikan Selangor ke pentas Asia.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang gembira dengan pencapaian yang dibawa bekas jurulatih kebangsaan itu.
“Cheng Hoe mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga penghujung 2024, oleh itu dia akan kekal bersama kami musim ini bagi membawa cabaran dalam Liga Malaysia dan ACL2,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johan menolak kemungkinan desas-desus yang mengatakan dua pemain sayap negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal menyertai Selangor musim hadapan dan tidak mahu memberikan komen lanjut tentang perkara ini.
Safawi and Akhyar kini berstatus pinjaman selepas disahkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu kenyataan minggu lalu tetapi destinasi mereka masih tidak diketahui namun dikaitkan bakal beraksi buat Terengganu ataupun Selangor.
Selangor yang kembali ke kejohanan kelab Asia selepas tujuh tahun kini dalam rangka untuk memperkuatkan pasukan dengan beberapa nama mula dikaitkan untuk membawa cabaran musim baharu.