Select Page

Keunggulan Harimau Selatan tiada tolok bandingan

Keunggulan Harimau Selatan tiada tolok bandingan

Oleh: MOHD FARIQ

MALAM tadi Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kesembilan berturut-turut dengan penuh bergaya selepas menumpaskan pencabar terdekat, Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim biarpun masih berbaki empat perlawanan liga.

Mempertahankan kejuaraan Liga Super sejak 2014 dan menjuarai kejohanan Piala FA menjadikan hampir sempurna buat titik semak perjalanan skuad Harimau Selatan pada musim ini.

Pertama, penulis ingin merakamkan kudos kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kepintaran baginda dalam tranformasikan JDT bukan sahaja digeruni dalam negara sebaliknya kini mula menarik perhatian dalam peta bola sepak secara global.

Perkataan konsisten itu sendiri bagaikan sudah menjadi darah daging buat pasukan yang berpangkalan di Selatan tanah air ini

Secara peribadi penulis menganggap sebenarnya kejayaan yang dicapai oleh skuad Harimau Selatan saat ini bukan lagi menjadi satu formula rahsia buat kelab-kelab Liga Malaysia yang lain.

Kejayaan JDT tidak sepatutnya dicemburui dengan cara salah sebaliknya penulis berpendapat pasukan lain patut ikut jejak langkah mereka mengikut kesesuaian kapasiti mengikut urus tabir kelab itu sendiri.

Menjuarai sembilan kali liga berturut-turut sebenarnya telah menunjukkan betapa tepatnya mesej Tunku Ismail di mana kualiti pasukan itu terletak kepada kemudahan infrastuktur latihan dan permukaan padang selain mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti tinggi.

Dalam bola sepak, memenangi trofi adalah penanda aras buat kelab tetapi pembangunan fasiliti serta pembangunan akademi lebih lebih mustahak dan perlu diberikan perhatian serius.

Hasilnya, kejayaan itu bukan sahaja dituai oleh pasukan utama sebaliknya skuad simpanan, JDT II pula menjuarai Liga Premier pada musim ini dan jelas inilah faktor terbesar mengapa Johor terus kekal unggul dan tiada tolok bandingan dalam dunia bola sepak Malaysia buat masa ini.

 

Sebenarnya penulis juga berkongsi rasa dengan penyokong-penyokong lain iaitu mahu melihat persaingan Liga Malaysia menjadi lebih sengit dan penuh drama.

Namun jika kelab-kelab lain masih tidak bangkit daripada lamunan, terpaksalah mereka berpuas hati dengan apa pencapaian yang mereka miliki sekarang kerana pasukan yang lebih bersedia seperti JDT akan sentiasa mencatatkan keputusan positif.

Pencapaian JDT bukanlah magik dan berlaku dalam sekelip mata tetapi itulah hasil titik peluh Tunku Ismail yang mungkin orang ramai terlepas pandang.

Akhir kata daripada penulis, tahniah kepada Tunku Ismail dan JDT. Semoga kejayaan ini akan terus membakar semangat mereka di pentas antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Luaskan Kuasamu Johor!

Foto kredit: JDT

Video Terkini

Loading...