Pasukan-pasukan dari Johor mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama kejohanan Johor 7s 2026 yang membuka tirainya secara rasmi di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, hari ini.

Beraksi di laman sendiri nyata memberikan kelebihan buat wakil tuan rumah apabila beberapa pasukan Johor berjaya mencatat keputusan positif untuk meletakkan diri dalam kedudukan terbaik menjelang aksi seterusnya.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah SJ26, pasukan pembangunan di bawah Kesatuan Ragbi Johor (JRU), yang memulakan kempen Kumpulan A kategori lelaki dengan langkah kanan selepas membelasah Johor Barbarian 27-0.

Kemenangan bergaya itu sekali gus memberikan tonik awal buat SJ26 dalam misi membuktikan keberkesanan program pembangunan ragbi Johor di pentas kompetitif.

Turut menyerlah pada hari pembukaan ialah MVPRC yang merekodkan kemenangan terbesar setakat ini selepas membenam Nomad RC 47-0 dalam aksi Kumpulan B.

Dalam saingan Kumpulan D pula, UTM Pirates mempamerkan persembahan meyakinkan untuk menewaskan X King RC 17-0.

Sementara itu, pertembungan sesama wakil Johor dalam Kumpulan C berlangsung cukup sengit apabila Red Panthera berjaya menundukkan Iskandar Raiders 7-5 dalam aksi yang berlarutan hingga wisel penamat.

Saingan kategori lelaki turut menyaksikan kejutan apabila juara bertahan, Singapore Development, tewas 5-12 kepada Malaysian University dalam aksi pembukaan Kumpulan A, sekali gus membuka saingan kejuaraan yang dijangka lebih sengit.

Bagi kategori wanita, Singapore Development memulakan kempen dengan cukup dominan apabila membelasah UPM Angels 34-0 untuk memberi amaran awal kepada pencabar lain.

Aksi Johor 7s 2026 akan bersambung esok dengan baki perlawanan peringkat kumpulan sebelum saingan suku akhir berlangsung pada sebelah petang dalam perebutan slot ke peringkat kalah mati.