Hari kedua saingan MCKK Premier 7s 2026 berlangsung cukup sengit apabila beberapa pasukan pilihan berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati menjelang hari terakhir kejohanan di padang Malay College Kuala Kangsar (MCKK), esok.
Juara bertahan, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), terus membuktikan status mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan selepas menamatkan saingan Kumpulan B dengan rekod sempurna.
SSMP memulakan aksi hari kedua dengan kemenangan bergaya 31-0 ke atas Shizuoka Seiko Academy (SSA), sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) 52-0 dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) 39-0.
Prestasi meyakinkan itu menyaksikan SSMP mara ke saingan kalah mati tanpa melepaskan sebarang mata, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang Piala NJ Ryan.
Turut mencuri perhatian ialah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan, yang bangkit dengan penuh karakter selepas mengalami kekalahan mengejut kepada Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH).
SSTMI yang tewas 26-34 kepada SMACH berjaya bangkit dengan dua kemenangan besar, membelasah Sekolah Menengah Atas Darunnajah (SMAD) 53-0 sebelum menewaskan Kolej Vokasional Arau (KVA) 22-7 untuk mengesahkan kemaraan.
Dalam Kumpulan E, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) turut tampil cemerlang apabila mengekalkan rekod tanpa kalah menerusi kemenangan ke atas Victoria Institution (43-0), Sekolah Menengah Kebangsaan HOSBA (27-5) dan Sekolah Menengah King Edward VII (36-7).
Sementara itu, pasukan tuan rumah MCKK gagal meneruskan rentak ke peringkat kumpulan selepas sekadar seri 14-14 dengan SMK Presint 11 sebelum tewas tipis 14-19 kepada Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).
Walaupun tersingkir daripada perebutan utama, MCKK masih akan meneruskan cabaran pada hari terakhir menerusi saingan kalah mati yang melibatkan kategori Cup, Plate, Bowl dan Shield.
Tumpuan kini terarah kepada hari terakhir kejohanan yang dijangka lebih mendebarkan apabila kesemua 24 pasukan akan berentap dalam aksi kalah mati, dengan setiap perlawanan membawa peluang untuk menamatkan kempen dengan kejayaan dalam kategori masing-masing.