JUARA bertahan, Argentina terpaksa berhempas pulas menempah slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Cape Verde dengan jaringan 3-2 menerusi masa tambahan di Stadium Miami pagi tadi.

Hadir sebagai pasukan pilihan, Argentina terlebih dahulu memecah gawang menerusi kapten dan penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman, Lionel Messi susulan hantaran daripada Lisandro Martinez.

Cape Verde enggan menyerah kalah apabila Deroy Duarte berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Kedudukan ini kekal sehingga tamat 90 minit masa perlawanan sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Dua minit selepas masa tambahan bermula, Lisandro Martinez kembali meletakkan La Albiceleste di hadapan selepas berjaya memanfaatkan peluang dengan rembatan kencang mengalahkan tiang dekat penjaga gawang Cape Verde, Vozinha.

Bagaimanapun, Cape Verde sekali lagi menunjukkan semangat juang tinggi dalam penampilang sulung mereka di Piala Dunia apabila Sidny Lopes Cabral meledak rembatan berkelas dunia untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-103.

Ketika perlawanan dilihat bakal ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, Cristian Romero muncul wira Argentina apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-111 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Messi.

Jaringan ini juga bermaksud Lionel Messi sekali lagi memecah rekod Piala Dunia sebagai pemegang rekod bantuan gol terbanyak sepanjang zaman yang sebelum ini ditakhta oleh Diego Maradona.

Cape Verde terus memberikan tentangan sengit sehingga wisel penamat, namun gagal menemui gol penyamaan sekali gus menamatkan kempen bersejarah mereka di pusingan kalah mati.

Kemenangan dramatik ini menyaksikan Argentina mara ke pusingan 16 terbaik dan bakal berdepan Mesir yang berjaya membenam Australia di pusingan sebelum ini.

Kredit Gambar – Chandan Khanna / AFP