KEJAYAAN demi kejayaan dicapai skuad beregu badminton negara ketika ini, menggambarkan bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat satu “pek kombo baharu”.
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, kehadiran presiden baharu, jurulatih baharu telah berjaya “membaharui” kem badminton negara terutamanya kem beregu yang menampakkan peningkatan ketara.
Katanya, impak sentuhan Herry Iman Pierngadi yang tersohor melahirkan deretan juara dari Indonesia, menampakkan magis hanya dalam tempoh tiga hingga empat bulan sejak bernaung di bawah BAM.

Legenda badminton Indonesia, Herry Iman Pierngadi mula bersama BAM pada Februari lalu.
“Awak sendiri boleh nampak pemain kita terutamanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik, lebih konsisten dan lebih yakin, mereka seolah-olah bukan Aaron-Wooi Yik yang kita kenal sebelum ini… saya rasa kunci utamanya adalah komunikasi.
“Bagaimana berkesannya komunikasi dari seorang jurulatih itu dengan pemain, boleh menerbitkan keyakinan dalam permainan. Bagi saya, apabila jurulatih itu dapat berkomunikasi dengan pemain, mudah pesanan disampaikan dan mampu meningkatkan keyakinan di gelanggang.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sebelum ini sukar mendapat gelaran Jelajah Dunia, kini tidak lagi.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun antara pasangan beregu lelaki negara yang turut mempamerkan tahap konsistensi tinggi.
“Jika dia jurulatih yang biasa, mungkin hanya berkongsi ilmu yang ada dalam buku sahaja,” kata Chong Wei yang menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Road to Gold (RTG), mengenai perkembangan terkini badminton tanah air.
Menurut beliau, barisan jurulatih baharu seperti Herry, Rosman Razak dan Nova Widianto serta Kenneth Jonassen adalah antara yang terbaik di dunia dimiliki skuad negara ketika ini.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, negara mungkin memiliki tiga hingga empat beregu lelaki di kelompok teratas dunia: “Ini akan jadi masalah, tetapi masalah yang baik buat kem badminton negara.”