Kredit Gambar: David Gray/AFP
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menutup tirai malam ini selepas 16 hari persaingan sengit atlet terbaik benua Asia, dengan Malaysia mengakhiri kempen di kedudukan ke-11 keseluruhan.
Kontinjen negara membawa pulang sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa sepanjang temasya, manakala China sekali lagi menguasai carta kutipan pingat dengan 169 emas, 89 perak dan 83 gangsa.
Jepun selaku tuan rumah menduduki tempat kedua dengan 83 emas, 95 perak dan 91 gangsa, manakala Korea Selatan melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi 39 emas, 43 perak dan 68 gangsa.
Upacara penutupan di Stadium Paloma Mizuho bermula pada jam 6 petang waktu tempatan dengan kehadiran Putera Mahkota Akishino Fumihito dan Puteri Mahkota Kiko, selain Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Joaan Hamad Al Thani.

Qatar’s Prime Minister and Foreign Minister Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani (centre 3R) and Olympic Council of Asia (OCA) President Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani (C) take part in the handover of the OCA flag during the closing ceremony of the 2026 Asian Games at Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium in Nagoya, Aichi Prefecture on October 4, 2026. (Photo by DAVID GRAY / AFP)
Acara kemudiannya diserikan dengan persembahan bertemakan Hearts Beating as One with Athletes sebelum para atlet dari seluruh Asia mengambil bahagian dalam perarakan penutupan, melambangkan semangat perpaduan selepas 16 hari bersaing di gelanggang masing-masing.
Segmen Gratitude and Emotion Celebration Heart kemudian mengimbas kembali detik-detik penting Aichi-Nagoya 2026 sebagai penghargaan kepada atlet, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan temasya tersebut.
Presiden OCA bersama Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC), Hideaki Omura, turut menyampaikan ucapan sebelum bendera OCA diturunkan sebagai simbol rasmi berakhirnya temasya di Jepun.
Tumpuan seterusnya beralih kepada Doha, Qatar apabila upacara serah tugas berlangsung. Wakil tuan rumah akan datang menerima bendera OCA dan obor daripada Aichi-Nagoya, diikuti pengibaran bendera Qatar dengan iringan lagu kebangsaan negara itu serta persembahan khas yang memperkenalkan budaya dan identiti Qatar.
Upacara pemadaman api Sukan Asia kemudian menandakan berakhirnya secara simbolik temasya Aichi-Nagoya 2026 sebelum persembahan One Asia, One Heart menyatukan para atlet dalam acara bon-odori berskala besar, sekali gus menutup tirai 16 hari persaingan dengan mesej perpaduan seluruh Asia.