RATU terjun negara, Nur Dhabitah Sabri melengkapkan penyertaannya dalam Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia kali kedua, dengan meraih pingat emas ketiga petang ini.

Selepas merangkul emas pertama dalam acara berpasukan campuran bersama Pandelela Rinong, Gabriel Gilbert Daim dan Enrique Maccartney Anak Harold pada Sabtu lalu, Dhabitah menambah dua lagi emas masing-masing sebelah pagi dan petang ini.

Hari ini, Dhabitah berpasangan dengan Ong Ker Ying merangkul emas menerusi aksi final acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita, mengutip 218.82 mata mengatasi wakil Hong Kong, Ka Sin Leung-Ziyi Wang (206.40 mata).

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Filipina iaitu Ariana Hannah Drake-Rose Ann Ocmer yang sekadar meraih 153.39 mata.

Sementara dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama Gabriel petang ini, mereka mengumpul 240.10 mata berjaya meraih emas sekali gus yang ketiga buat Dhabitah.

Aksi Dhabitah ketika final 3m papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tempat kedua menjadi milik Aldinsyah Putra Rafi-Gadies Lariesa Garina dari Indonesia dan gangsa milik pasangan Singapura, Mex Lee-Alycia Lim.

“Saya sangat berbangga dengan Gabriel kerana walaupun sudah lama dia tidak menyertai kejohanan (lebih setahun) masih mampu meraih emas.

“Sudah tentu saya berpuas hati dengan kejohanan ini kerana berjalan seperti yang dirancang,” kata Dhabitah yang selesa bergandingan dengan Gabriel.

Untuk rekod, gandingan Dhabitah-Gabriel kali erakhir disatukan pada Kejohanan Grand Prix FINA di Gold Coast, Australia 2017 yang menyaksikan duo berkenaan meraih gangsa.

Dalam pada itu, Gabriel, 23, berpuashati dengan prestasinya di kejohanan itu selepas lebih setahun tidak menyertai kejohanan akibat kecederaan di bahagian tulang belakang.