DEBARAN Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2022 semakin terasa apabila ianya akan membuka saingan esok dengan pemain kebangsaan pastinya diharapkan dapat menyinar dalam kejohanan tersebut.
Dalam acara perseorangan lelaki, tumpuan sudah tentu terarah kepada perseorangan terbaik negara, Lee Zii Jia yang enggan menyertai temasya Sukan Komanwel baru-baru ini bagi memberi laluan untuk mendapat rehat yang cukup menjelang Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Tokyo.
Peminat pastinya mendambakan persembahan terbaik dari bintang pujaan Alor Setar itu dan tekanan tersebut perlu diserap sebaik mungkin Zii Jia bagi meraih gelaran sulung buat dirinya dalam kejohanan terbesar dunia yang masih belum berjaya dimenangi oleh mana-mana perseorangan negara setakat ini.

Zii Jia diharapkan dapat meraih gelaran sulung di kejohanan dunia kali ini.
Tidak dilupakan juga kepada pemain meningkat naik, Ng Tze Yong yang mengejutkan dunia apabila dia berjaya menewaskan beberapa pemain yang mempunyai ranking yang lebih baik darinya dalam Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini.
Kejayaan Tze Yong meraih perak jelas menjadi buah mulut dan siulan ramai kerana tiada yang menyangka dia mampu mara sehingga ke peringkat akhir dengan tewasnya nama-nama besar seperti Loh Kean Yew, Srikanth Kidambi dan beberapa pemain lain yang tidak dijangka mampu diatasinya.
Aksi kali ini Tze Yong perlu meneruskan momentum kemenangan kerana dia diundi bertemu Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia yang baru sahaja melakar kejutan menjuarai Malaysia Masters, Julai tahun ini.

Tze Yong diharapkan dapat meneruskan kecemerlangan Sukan Komanwel Birmingham untuk dibawa ke Kejohanan Dunia di Tokyo.
Laluan sukar bakal ditempuh seorang lagi pemain berpengalaman kebangsaan, Liew Daren yang diundi bertemu perseorangan pertama dunia, Viktor Axelsen dalam pusingan pertama kejohanan kali ini.
Dalam acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah dijangka bakal diuji apabila dijadualkan bertemu gandingan kelima dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida seawal pusingan ketiga.

Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei diharap mampu mengatasi isu kelemahan mental terutama ketika beraksi di separuh akhir dan perlawanan akhir.
Bagi kategori beregu lelaki pula fokus pastinya diletakkan kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei apabila mereka sebelum ini sering terkandas di peringkat separuh akhir.
Kelemahan mental dikatakan menjadi punca kepada tewasnya beregu harapan negara ini dalam menghadapi situasi genting dan ianya perlu diperbaiki sebaik mungkin andai masih bernafsu memburu gelaran dunia kali ini.
Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2022 akan bermula pada 22 hingga 28 Ogos dan edisi kali ini dijadualkan berlangsung di Tokyo, Jepun.