PASUKAN yang sedang bergelut dalam Liga Super, Penang FC membuat pengumuman bahawa kelab telah melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Pemilihan Pemain untuk musim 2023.
Penyusunan semula ini akan memperlihatkan tugasan tambahan buat barisan kejurulatihan yang diberikan kuasa untuk memilih pemain bagi memastikan mereka sesuai dengan taktikal yang bakal digunapakai.
Keanggotaan baharu ini akan dipengerusikan oleh Pengarah Teknikal, Kamal Kalid dan dianggotai Ketua Jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Penolong Ketua Jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid dan dibantu Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Sam Pakiarajdan dan jurulatih penjaga gol, Hisham Jainudin.
Menerusi pengumuman yang dibuat melalui laman sosial rasmi kelab itu juga, Datuk Zainal Abidin Hassan kekal menerajui pasukan musim hadapan manakala Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula dilantik sebagai Ketua Jurulatih Liga Simpanan.
Tanggungjawab jawatankuasa ini adalah untuk menyusun semula langkah-langkah pengambilan dan pengekalan pemain-pemain untuk musim hadapan serta penggubalan sistem pengujian tahap kecergasan dan kesihatan pemain serta pembangunan pemain muda berdasarkan peruntukan yang disediakan.
Usaha ini dilakukan bagi mempersiapkan pasukan bagi menghadapi struktuk baharu liga pada 2023 dan fokus untuk musim ini adalah untuk memastikan Penang FC layak ke Piala Malaysia.
Selain itu pengurusan tertinggi kelab juga mengumumkan perlantikan dua Ahli Lembaga Pengarah baharu selepas disarankan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang bersidang baru-baru ini.
Daniel Gooi Zi Sen dan Kumaresan Aramugam kini akan menjadi sebahagian daripada pengurusan yang akan sama-sama berganding bahu mengurus dan memertabatkan sukan bola sepak negeri Pulau Pinang.