SKUAD B-23 negara dijangka beraksi di Stadium Thammasat, Thailand bagi saingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 selepas venue asal, Stadium True BG tidak dapat digunakan kerana masalah padang.

Stadium yang menjadi gelanggang rasmi BG Pathum United itu sebelum ini telah menjalani proses penambahbaikan, namun selepas menganjurkan tiga perlawanan, keadaan padangnya masih dianggap tidak memuaskan.

Susulan itu, BG Pathum United dan Bangkok United sepakat melaksanakan kerja penambahbaikan buat kali kedua sebaik sahaja aksi Thai League 1 minggu ini berakhir.

Kedua-dua kelab tersebut turut memohon maaf kepada semua pihak atas kesulitan yang berlaku dan menegaskan usaha ini penting bagi memastikan Stadium True BG kembali berada pada tahap terbaik.

Sebagai langkah segera, Thailand memilih Stadium Thammasat sebagai lokasi alternatif untuk menganjurkan kesemua perlawanan kelayakan Piala Asia B-23 2026 September ini.