PENGELOLA liga amatur negara, Amateur Football League (AFL) gembira dengan sambutan yang diterima daripada pasukan-pasukan amatur untuk bersaing dalam Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup 2024 apabila sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan musim ini.
Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan peranan pihaknya adalah mahu memastikan setiap kelab yang bertanding dapat belajar cara untuk mentadbir pasukan masing-masing secara profesional meskipun sekadar bergelar pasukan amatur.
Yusoff yang ditemui pada Majlis Taklimat Pasukan Liga A2 di Wisma FAM juga mahu melihat jurang antara dua liga kelolaan AFL, Liga A1 dan A2 dapat dirapatkan bagi memastikan persaingan yang lebih sihat antara kesemua pasukan mengambil bahagian.

Datuk Yusoff mahu jurang antara kedua-dua liga dibawah AFL dirapatkan bagi bentuk persaingan lebih sihat
“Harapan saya persaingan sengit yang berlaku di Liga A1 Semi-Pro berlaku juga di Liga A2 dan atas sebab itu kita juga mahu merapatkan jurang antara kedua-dua liga ini kerana akan ada promosi dan relegasi antara kesemua pasukan.
“Kualiti dalam Liga A2 ini juga perlu lebih kurang atau seimbang dengan Liga A1 bagi memastikan saingan yang sihat supaya liga-liga dibawah kelolaan AFL ini dapat dilihat sebagai melengkapi antara satu sama lain.
“Kita juga mahu menjadi medium buat pasukan untuk belajar menjadi pasukan dengan pengurusan yang profesional dan kelab yang kelihatan profesional tanpa mengira status sama ada amatur atau semi pro.

Trofi yang menjadi rebutan 16 pasukan bertanding
“Setiap pasukan juga perlu memiliki media sosial masing-masing dan pandai mempromosi pasukan untuk menarik lebih banyak sokongan dan juga menjana pendapatan kelab,” katanya.
Liga A2 Amateur ini akan dibahagikan kepada tiga zon – Zon Utara/Pantai timur, Zon Tengah & Zon Selatan akan memulakan saingan pada 19 Julai dan dijangka menobatkan juara pertama pada penghujung Disember 2024.
16 pasukan yang bertanding adalah Guar Syed Alwi FC, Pencintasetia FC, Kuala Muda FA, KGKU FC, NBK Empire FC, Gombak City FC, SJ Virtuosos FC, SAMB FC, Real Mambau FC, BR United dan Semantan Troopers FC.
Manakala empat pasukan sedia ada yang akan terus bersaing adalah JAKIM FC, MPPD FC, MAHSA United FC, WTS FC dan AAK Ultimate FC.