PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui dia masih memerlukan beberapa perlawanan lagi sebelum dapat memutuskan kesebelasan utama terbaik untuk menghadapi kempen Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula pada 10 Mei 2024.
Bercakap kepada media selepas menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi pramusim Agarbomb Performance Cup 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Tomislav masih menunggu kepulangan tonggak pertahanannya serta beberapa lagi pemain untuk kembali cergas sebelum membuat keputusan.
Terengganu beraksi tanpa lima tonggak utama – Ubaidullah Shamsul dan Safwan Mazlan yang mewakili skuad B-23 tahun kebangsaan di Piala Asia serta Ivan Mamut, Azam Azmi Murad dan Hakimi Ismail yang masih belum pulih dari kecederaan.

Tomislav masih belum dapat gambaran penuh kesebelasan utama
“Saya berpuas hati dengan kemenangan ini tetapi masih banyak perlu diperbaiki dan saya kini sudah sebulan berlatih tanpa Ubaidullah dan Safwan yang membataskan sedikit pilihan di bahagian pertahanan.
“Kita juga sedang menanti kembalinya Ivan Mamut dan Azam Azmi dari kecederaan kerana keempat-empat pemain ini adalah tonggak utama pasukan dan segalanya akan ditentukan sebelum liga bermula nanti,” katanya.
Tomislav bagaimanapun sedikit lega apabila ketiadaaan Mamut dapat ditampung pemain import baharu, Ismaheel Akinade yang dilihat selesa bergandingan bersama-sama Akhyar Rashid dan Safawi Rasid di bahagian serangan pasukan.

Ismaheel Akinade mampu tampung tempat Ivan Mamut
“Ismaheel bekerja keras dan sentiasa memberikan 100 peratus ketika latihan dan permainan. Dia juga sudah menjaringkan tiga gol dan membuktikan kualitinya sebagai penyerang yang baik.
“Dia sedikit berbeza dari Mamut tetapi apa yang pasti mereka berdua akan digandingkan dalam banyak perlawanan kerana kita mempunyai musim yang cukup panjang,” jelasnya.
Terengganu FC adalah salah satu pasukan pilihan musim ini dengan kehadiran tujuh muka baharu dan Tomislav akan menggunakan perlawanan pramusim ini untuk mencari gandingan terbaik sebelum permulaan musim menentang Perak FC.