PERJALANAN Stuart Wilkin bersama Sabah FC akhirnya menemui noktah apabila pemain tengah itu sah meninggalkan Skuad Badak selepas lebih tiga musim menjadi nadi utama pasukan, sekali gus mengakhiri satu fasa penting dalam sejarah kelab itu.
Perpisahan tersebut diumumkan pihak pengurusan Sabah menerusi hantaran di media sosial dengan ucapan penghargaan atas sumbangan pemain warisan Malaysia-England itu.
“Terima kasih Stuart Wilkin atas segala usaha dan komitmen bersama Skuad Badak serta sentiasa memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan sejak musim 2022,” menurut kenyataan Sabah FC.
Wilkin menyertai Sabah secara tetap pada musim 2022 selepas tempoh pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) setahun sebelumnya dan sejak itu menjadi tonggak utama di bahagian tengah pasukan.
Statistik turut menggambarkan pengaruh besarnya apabila Wilkin mencatat 17 gol serta 21 bantuan jaringan dalam 109 penampilan bersama Sang Badak, menjadikannya antara pemain paling konsisten sepanjang tempoh tersebut.
Kini, masa depan Wilkin terus menjadi persoalan peminat dengan spekulasi mengenai destinasi seterusnya mula tercetus, termasuk kemungkinan kembali ke JDT.