SATU gelaran di Terbuka Switzerland sudah sah menjadi milik Malaysia apabila dua wakil negara akan membuat perhitungan di pentas final beregu campuran, malam ini.

Gandingan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei melepasi saingan separuh akhir awal pagi tadi, sekali gus masing-masing bakal memburu kejuaraan pertama musim ini.

Beraksi di St Jakobshalle di Basel, Soon Huat-Shevon berjaya mara ke final Terbuka Switzerland untuk tahun ketiga berturut-turut selepas mengatasi pemain Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-16.

Goh Soon Huat-Shevon Lai, kini diranking ke-14 dunia.

Sementara Tang Jie-Ee Wei pula menundukkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-16, 21-12 sekali gus melangkah ke final buat kali pertama kejohanan bertaraf Super 300 itu, selepas sekadar ke suku akhir tahun lalu.

Aksi final malam ini menjadi peluang buat Soon Huat-Shevon untuk menebus kekecewaan selepas hanya muncul naib juara pada 2022 dan 2023.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini menghuni ranking kesembilan dunia.

Tang Jie-Ee Wei pula dalam misi untuk memburu gelaran sulung mereka musim ini dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara Masters Thailand, bulan lalu.

Rekod pertemuan menyaksikan kedua-dua pasangan negara itu terikat 1-1 dengan aksi terakhir memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang menewaskan Soon Huat-Shevon di Masters Jepun tahun lalu.