KEKALAHAN awal tidak menggugat rentak Malaysia apabila skuad negara bangkit untuk menewaskan Finland dalam aksi kedua Kumpulan Piala Thomas, sekali gus meneruskan momentum kemenangan selepas mengharungi detik mencemaskan pada perlawanan pembukaan.

Malaysia terlebih dahulu ketinggalan selepas pemain perseorangan utama, Leong Jun Hao tewas kepada Joakim Oldorff 15-21, 17-21 dalam tempoh 43 minit, sekali gus menyaksikan rekod pertemuan mereka kini terikat 1-1.

Namun, Hoh Justin segera mengembalikan momentum negara apabila menundukkan Kalle Koljonen 21-12, 21-14 dalam masa 39 minit, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam dua pertemuan antara mereka.

Beregu utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin kemudian memastikan Malaysia di landasan tepat selepas menewaskan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-15, 21-12 dalam tempoh 23 minit.

Momentum itu diteruskan oleh Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Ananda Galvani Daniswara 21-10, 21-19 dalam tempoh 35 minit.

Gandingan ‘scratch pair’ Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun melengkapkan kemenangan bergaya apabila menewaskan pasangan Finland, Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-14, 21-7 dalam masa 24 minit.

Malaysia dijadualkan menentang Jepun pada 29 April nanti dalam aksi terakhir peringkat kumpulan bagi menentukan kedudukan akhir.