PENGARAH Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky mahu pasangan Arif Junaidi-Yap Roy King membuktikan kemampuan sebenar pada Malaysia Masters minggu depan.
Menurut Rexy, kejohanan di laman sendiri itu platform terbaik buat pasangan ranking ke-17 dunia berkenaan membuktikan mereka bukan sahaja cemerlang ketika latihan tetapi juga mampu menyerlah di pentas besar.
“Untuk pemain seperti Arif dan Roy King, ini peluang untuk mereka buktikan mereka bukan sahaja bagus ketika latihan tetapi juga mampu beri persembahan dalam kejohanan.
“Kami tidak mahu hanya bergantung kepada pemain utama sahaja. Saya juga mahu lihat pasangan lain tunjuk mereka mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk meningkat,” katanya.
Arif-Roy King sebelum ini mencuri perhatian apabila menjuarai Terbuka Macau tahun lalu selain menewaskan beberapa pasangan elit dunia, namun masih bergelut menampilkan aksi konsisten dalam Jelajah Dunia musim ini.
Rexy percaya pasangan negara itu mampu mencipta impak di Masters Malaysia sekiranya mengekalkan prestasi terbaik, selain berharap mereka dapat mengelak bertemu sesama sendiri terlalu awal dalam undian kejohanan.
Sumber Gambar: BAM