PEMAIN sayap Sarawak United FC, Shamie Iszuan Amin menganggap peluang yang diterimanya untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan adalah satu kebanggaan buat dirinya meskipun bermain di pasukan yang kurang diberikan perhatian.
Dia juga gembira dengan peluang ini dan tidak berasa kekok untuk beraksi kerana pernah bermain dengan beberapa pemain ketika mewakili pasukan B-22 tahun kebangsaan sebelum ini.
Pemain berusia 27 tahun itu juga mahu merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain untuk ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dengan menggunakan perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada Jumaat sebagai medan terbaik menunjukkan kemampuannya.
“Bagi saya ini adalah peluang apabila dipanggil untuk berada dalam skuad kebangsaan meskipun pasukan yang saya sertai kurang diberi perhatian tetapi barisan kejurulatihan tetap nampak potensi dan ini adalah peluang untuk anak Borneo seperti saya menonjol.
“Saya tidak menjangkakan untuk dipanggil tetapi sedikit terkejut apabila mendapat tawaran dan saya gembira kerana dapat peluang untuk bermain dengan pasukan yang semakin meningkat prestasinya ketika ini.
“Isu kekok bukanlah masalah kerana saya pernah bermain dengan kebanyakan pemain dalam skuad B22 tetapi ini adalah kali pertama saya akan bermain dalam skuad senior.
“Sasaran saya buat masa ini adalah untuk diturunkan pada aksi persahabatan menentang Kemboja untuk saya tunjukkan apa yang boleh saya lakukan sebelum sekurang-kurangnya tersenarai dalam 23 pemain ke Piala AFF.
“Saya akan buat yang terbaik dalam padang dan terpulang kepada jurulatih untuk memilih dan kami bersedia dengan baik untuk menentang Kemboja dan mahu menang kerana bermain di tempat sendiri,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan rasmi bermula di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Shamie juga mendedahkan sudah mendapat tawaran daripada pasukan baharu yang akan diumumkan selepas tamat kejohanan Piala AFF kerana mahu fokus terlebih dahulu kepada tugasan bersama skuad negara.
Dia memberitahu ingin mencuba angin baharu di pasukan lain selepas empat tahun di Sarawak dan dia juga mengakui bahawa masalah yang dihadapi bersama pasukan lamanya masih belum menjumpai jalan penyelesaian.