BEKAS pemain bintang Arsenal dan Barcelona, Alexis Sanchez, sah secara rasmi menjadi pemain baharu Sevilla, meninggalkan kelab Udinese.

Melalui laman sesawang rasmi, Sevilla telah mengumumkan Alexis Sanchez sebagai pemain baharu kelab mereka, awal pagi tadi.

Berbekalkan pengalaman luas selepas beraksi dengan pelbagai kelab elit di Eropah, Alexis Sanchez kini menjadi sandaran utama meledakkan gol untuk Sevilla selain sebagai pembawa impak besar buat kelab.

“Alexis akan membawa pengalaman dan ketajaman meledakkan gol untuk Sevilla,” demikian kenyataan kelab itu yang dipetik dari laman rasminya.

Pengumuman ini disampaikan beberapa jam setelah Alexis Sanchez membuat keputusan untuk meninggalkan Udinese dengan persetujuan bersama.

“Udinese dan Alexis Sanchez berpisah di sini. Alexis akan selalu menjadi wonderkid kami,” kata Udinese di laman rasmi mereka.