KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menjangkakan satu perlawanan yang sukar apabila turun menentang wakil Indonesia, PSM Makassar dalam aksi Kumpulan H Piala AFC pada Jumaat.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu yakin pemain-pemain sudah berada dalam keadaan cergas dan bersedia bertemu dengan bekas kelab yang pernah dibimbinginya itu dua tahun lalu.

“Ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Semua tiga pasukan dalam kumpulan ini adalah sama. Kelebihan ada pada Tampines Rovers dan PSM Makassar kerana sering beraksi di Piala AFC berbanding KL tetapi kami mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Romel Morales dan Paulo Josue kedua-dua cergas dan boleh diturunkan untuk perlawanan esok manakala J.Partiban hanya boleh diturunkan pada perlawanan kedua nanti dengan semua pemain berada dalam keadaan yang baik,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan, Khamis.

Dalam pada itu, Hodak juga mengakui belum pasti pemain import yang akan diturunkan nanti.

 

“Saya pening untuk menentukan empat pemain import kerana kami mempunyai lima pemain. Jika saya mahu menggunakan penjaga gol import, saya terpaksa korbankan penyerang import dan sebaliknya.

“Kesemua pemain tidak sabar untuk beraksi pada pertandingan ini dan mereka mahu membuktikan kemampuan masing-masing dan mereka memberikan sepenuhnya tumpuan kepada Piala AFC ini.

“Saya juga berharap agar penyokong Kuala Lumpur City dapat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kerana saya tahu penyokong PSM Makassar sentiasa ada di mana pun pasukan mereka beraksi,” tambahnya.

KL City bakal turun bertemu PSM Makassar di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebelum bertemu wakil Singapura Tampines Rovers 30 Jun ini.