PERUBAHAN taktikal pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan membuahkan hasil di sebalik kemenangan 2-1 mengatasi Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Rabu.
Ia selepas ketiadaan ayam tambatan, Casagrande yang menjalani pembedahan akibat kecederaan tulang pipi.
“Pada saat akhir, saya kena teliti setiap pemain apabila kehilangan Casagrande dan terpaksa mengubahsuai pasukan ini khususnya di bahagian serangan kerana kita miliki ramai pemain yang deras berlari.
“Tapi untuk perlawanan hari ini, saya terpaksa buat satu keputusan untuk Endrick Vitor dan Hilal El-Helwe.
“Alhamdulillah, mereka berjaya menjalankan tugas dalam perlawanan ini,” katanya berpuas hati kesungguhan pemain dalam meraih tiga mata.
Terdahulu, Zainal Abidin ketika mengesahkan perkembangan pemain berkenaan selamat menjalani pembedahan pada Isnin lepas dan sedang dalam proses pemulihan.
“Kita cuba sebaik mungkin untuk Casagrande yang akan berehat panjang. Kita perlu buat satu keputusan drastik sama ada ganti dia atau sesuatu yang baik untuk pasukan,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih TFC Nafuzi Zain akui pasukannya bermula agak terlalu perlahan dan santai terutama di babak pertama.
“Separuh masa kedua kita berusaha cuba bangkit sehingga kedudukan jadi 1-1 dan permainan berubah. Tapi terlalu cepat Penang kembali dapat gol dan menambah moral tuan rumah untuk bertahan.
“Banyak peluang dari Kpah Sherman dan Kipre Tchetche tapi pertahanan Penang bermain cemerlang,” katanya.
Kekalahan skuad Peteh Ganu Peteh itu mengekalkan kedudukan di tangga ketujuh liga kutipan sembilan mata manakala Penang berjaya keluar dari posisi tercorot untuk berkongsi tujuh mata dengan Sarawak United.