PEMINAT bola sepak tempatan bakal menikmati liputan menyeluruh Piala Dunia FIFA 2026 apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi kejohanan itu di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta itu dibuat bagi memastikan kejohanan terbesar dunia berkenaan dapat ditonton secara inklusif serta mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, siaran Piala Dunia 2026 akan tersedia menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma (Free-to-Air) melalui MYTV selain platform OTT RTMKlik dan Unifi TV.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan peminat di seluruh negara dapat mengikuti aksi kejohanan tanpa kekangan akses.

“Kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM pula akan menayangkan sebahagian besar aksi sama ada secara langsung atau tertunda,” katanya.

Selain siaran langsung, program khas Grandstand turut akan diterbitkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian kandungan dalam Bahasa Inggeris.

Dalam masa sama, kerajaan turut merancang untuk mengadakan acara tontonan umum di beberapa lokasi terpilih bagi memeriahkan suasana kejohanan dan meningkatkan penglibatan penyokong tempatan.

Fahmi turut memaklumkan beberapa penaja utama sudah dikenal pasti dan kini berada dalam proses dimuktamadkan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi RTMKlik menerusi Google Play dan Apple Store bagi memudahkan akses tontonan sepanjang kejohanan berlangsung nanti.