INDONESIA membuka akaun dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dengan nota kemenangan selepas menewaskan Kemboja 2-1 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat.

Dua jaringan pada babak pertama oleh Egy Maulana Vitri dan Witan Sulaeman pada babak pertama cukup untuk memberikan skuad Garuda tiga mata pertama untuk bermula dengan langkah kanan.

Bagaimanapun anak-anak buah Shin Tae-yong dipaksa bekerja keras oleh Kemboja yang telah mengejutkan Filipina pada perlawanan pembukaan dengan berjaya mengikat Indonesia pada pertengahan babak pertama hasil jaringan Saret Krya.

 

Dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi termasuk debut daripada pemain Johor Darul Ta’zim, Jordi Amat, Indonesia dilihat lebih banyak mengasak kubu Kemboja namun dinafikan kekentalan penjaga gol, Keo Soksela.

Kemenangan ini pastinya memberikan semangat tambahan buat para pemain Garuda sebelum berhadapan Brunei pada perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Filipina akhirnya meraih kemenangan pertama menewaskan Brunei 5-1 dan berjaya melupakan kekalahan kepada Kemboja dalam perlawanan pembukaan.

 

Dua gol pantas berturut-turut pada setiap babak memastikan skuad Azkals kembali bersaing dalam kejohanan Asia Tenggara ini dan Brunei terpaksa akur dengan kekalahan kedua mereka kepada dua jaguh Asean.

Kemenangan Indonesia dan Filipina ini menyaksikan persaingan dalam Kumpulan A kembali terbuka dengan empat pasukan kini dengan tiga mata dan perlawanan ketiga pada Isnin bakal menjadi penentu siapa yang menjadi pilihan ke peringkat separuh akhir.

Perlawanan ketiga pada Isnin bakal menemukan Brunei dan Indonesia di Kuala Lumpur manakala Thailand akan menentang Filipina di Bangkok manakala giliran Kemboja untuk berehat.