FOTO : FAM
KETUA jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, menegaskan bahawa fokus utama pasukannya menjelang perlawanan penting menentang Malaysia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 adalah memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan optimum.
Selepas melalui jadual padat termasuk perlawanan sehingga 120 minit baru-baru ini, aspek pemulihan menjadi elemen utama dalam persediaan pasukan Singa.
“Kami hanya ada dua hari untuk berehat sejak perlawanan terakhir. Pemain jelas keletihan, tetapi kakitangan perubatan kami sedang bekerja keras untuk memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk esok.
“Saya harap semua pemain, termasuk Shawal Anuar, berada dalam keadaan lebih baik menjelang perlawanan,” kata Ogura di sidang media pra-perlawanan.
Kapten Singapura, Hariss Harun, yang turut hadir dalam sidang media, mengakui bahawa pertembungan dengan Malaysia sentiasa istimewa dan penuh dengan persaingan sengit. Namun, beliau tidak menafikan bahawa pasukan tuan rumah memiliki kelebihan besar bermain di depan penyokong sendiri dan datang dengan rehat lebih panjang.
“Malaysia jelas lebih segar kerana mereka tidak bermain pada hari perlawanan sebelumnya. Namun, perlawanan ini sangat penting untuk kami dan mereka.
“Kami sedar cabaran besar menanti, tetapi kami juga bersedia untuk bertarung hingga ke akhir demi melangkah ke pusingan seterusnya,” jelas Hariss.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap skuad Singapura yang kini lebih berpengalaman berbanding edisi sebelum ini.
“Bukit Jalil sentiasa mencabar kerana atmosferanya yang hebat. Tetapi kali ini, kami mempunyai pemain yang lebih matang dan tahu bagaimana menangani tekanan bermain di tempat lawan. Beberapa pemain kami juga telah bermain di peringkat tinggi seperti Liga Juara-Juara Asia,” tambahnya.
Mengulas mengenai kekalahan besar 1-4 kepada Malaysia pada edisi Piala AFF 2022 lalu, Hariss menyifatkan pasukan kini telah belajar banyak daripada pengalaman itu.
“Kali terakhir, ramai pemain kami masih muda dan kurang pengalaman. Namun, sekarang mereka telah melalui banyak perlawanan besar, termasuk di pentas antarabangsa.
“Kami tahu apa yang perlu dilakukan esok untuk mendapatkan keputusan positif.
“Tidak banyak masa untuk meratapi kekalahan kepada thailand tempoh hari. Fokus kami adalah memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti dan bersedia secara mental serta fizikal. Pemulihan adalah aspek paling penting sekarang, dan kami mahu memberikan yang terbaik esok,” ujar Hariss.
Perlawanan antara Malaysia dan Singapura sentiasa menjadi acara yang dinanti-nantikan kerana perseteruan tradisi antara kedua-dua pasukan. Dengan ribuan penyokong Malaysia dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Singapura perlu memanfaatkan pengalaman pemain seperti Hariss, Safuwan Baharudin, Izwan Mahbud, dan Shahdan Sulaiman untuk mengawal tekanan.
“Ini adalah perlawanan klasik. Rivaliti ini bukan hanya dirasai di atas padang, tetapi juga di luar padang.
“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini, bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk penyokong di rumah,” kata Hariss.
Esok, Singapura akan bertarung bukan sahaja untuk mara ke pusingan seterusnya tetapi juga untuk menebus maruah selepas kekalahan besar pada edisi lalu.
Ogura yakin pasukannya mampu bangkit meskipun datang dengan beban kecergasan yang mencabar.
“Kami tahu Malaysia lawan yang kuat, tetapi kami percaya pada kemampuan pasukan kami. Kami akan memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” katanya mengakhiri sidang media.
Perlawanan dijangka bermula pada jam 9:00 malam Jumaat dan akan menjadi tumpuan utama peminat bola sepak di rantau ini.