PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan menjangkakan satu perlawanan yang sengit apabila turun menentang Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-23 pada Khamis.

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir sebagai pemenang Kumpulan B selepas menewaskan Indonesia 2-1 dan Timor Leste 3-1 dan kembali semula ke peringkat kalah mati selepas empat tahun.

Elavarasan turut mengakui bahawa Vietnam adalah pasukan yang bagus di rantau ini namun dia percaya anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan ini.

“Bagi saya di rantau Asia Tenggara, Vietnam adalah sebuah pasukan yang bagus dan mereka mempunyai pemain-pemain yang berkualiti dan mereka sering memperolehi kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka.

“Namun begitu, pemain-pemain saya sudah bersedia untuk memberikan saingan sengit sekali gus mahu merebut slot ke perlawanan akhir,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Rayong.

Tambah Elavarasan, dia berharap tempoh pemulihan dan persediaan pasukan mampu membantu Harimau Muda mengekang asakan Golden Star Warriors.

“Lebihkan pemulihan dan sediakan pemain, paling penting sedia untuk perlawanan akan datang.

“Kita patut perlukan pemain-pemain lain. Memang kita perlukan pemulihan untuk keadaan badan,” tambahnya.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan tuan rumah, Thailand selaku juara Kumpulan A menentang Indonesia, pasukan tempat kedua terbaik di stadium sama, malam esok.