KUALA Lumpur City FC melanjutkan kerjasama bersama kelab gergasi Iran, Sepahan SC untuk tempoh tiga tahun sebagai langkah menambahbaik kualiti kelab terutama dari sudut teknikal dan pertukaran pemain dan kepakaran.
Kerjasama yang pernah terjalin pada 2021 itu dilanjutkan berikutan banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini ekoran penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan industri bola sepak dunia.
Perjanjian Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard sambil disaksikan Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Ashgar Mohammadi dan Ketua Perhubungan Antarabangsa Sepahan SC, Hamed Asfa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.
“Kita mula berbincang tentang perkara ini pada 2021 ketika kami sedang meningkat naik dan mahu menguatkan pasukan, Sepahan datang berjumpa kami dan mereka berminat untuk melakukan kerjasama dengan kami dan saya melihat ianya baik dari sudut teknikal dan kami bersetuju untuk bekerjasama.
“Perjanjian dengan Sepahan ini boleh memberikan kami sokongan dari pelbagai aspek dan perkara pertama yang kami akan lakukan adalah untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada penghujung musim.
“Kami mahu belajar banyak dari mereka dan mereka juga teruja untuk hadir ke sini. Perkara ini sudah dalam perbincangan dan kami juga sedia mengambil pemain import dari Iran jika ianya menepati bajet dan kehendak permainan kami,” kata Stanley dalam sidang media.
Sementara itu pengendali KL City, Nenad Bacina berbangga dengan kerjasama ini dan berharap bukan hanya KL City menerima pemain dari Iran tetapi juga pemain muda KL City boleh berhijrah ke sana untuk menimba pengalaman.
“Ini adalah saat yang membanggakan buat kelab ini. Saya berharap bukan kami sahaja menerima pemain dari Iran tetapi juga kelab boleh mengadakan perjanjian untuk menghantar skuad muda ke sana untuk belajar lebih tentang bola sepak kerana mereka mempunyai budaya bola sepak yang lebih besar,” katanya dalam sidang media yang sama.
Perjanjian ini bukan sahaja melibatkan kedua-dua kelab bola sepak sebaliknya melibatkan kedua-dua buah bandar iaitu Kuala Lumpur dan Esfahan yang terkenal sebagai bandar kembar dan kini hubungan dua hala kedua negara akan lebih terjalin.