HARIMAU Malaya bakal menghadapi perlawanan penting menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, mengakui perlawanan ‘derby’ antara Malaysia dan Singapura sentiasa membawa aura istimewa dengan tekanan tinggi di kedua-dua belah pasukan.
“Ya, ini adalah perlawanan yang sangat penting buat pasukan kita kerana Malaysia sering berdepan tekanan, tetapi kadangkala keajaiban berlaku dalam situasi seperti ini,” kata Safee ketika ditemui di Sofitel, Damansara.
Selain itu, Safee turut memuji prestasi pemain dalam perlawanan menentang Thailand sebelum ini walaupun keputusan tidak memihak kepada Malaysia.

Pasukan negara berjaya menewaskan pasukan Indonesia untuk memenangi Piala AFF pada tahun 2010.
“Pemain-pemain telah menunjukkan permainan yang baik ketika menentang Thailand dan mereka wajar diberi pujian walaupun keputusan tidak menyebelahi kita.
“Untuk perlawanan menentang Singapura, pemain sudah tahu kesilapan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dan mereka perlu membuktikan kemampuan dengan kemenangan, kerana itu sahaja kunci untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.
Mengulas tentang pertembungan klasik Malaysia-Singapura, Safee berkongsi pengalaman beliau beraksi dalam perlawanan derby yang penuh emosi dan tekanan.
“Menentang Singapura bukanlah tugas mudah, ketegangan dan rasa gementar pasti ada kerana jarak antara kemenangan dan kekalahan itu sangat kecil.
“Pemain harus berdisiplin, fokus sepenuhnya pada permainan, dan memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia,” tambahnya.
Sebagai tambahan, Safee menyeru semua penyokong Harimau Malaya untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan dalam misi untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
“Dengan sokongan dan doa yang baik daripada seluruh peminat, pemain akan lebih bersemangat. Mereka memerlukan motivasi positif untuk beraksi dengan penuh keyakinan di padang,” jelasnya.
Perlawanan Malaysia menentang Singapura ini bakal menjadi penentu nasib skuad kebangsaan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Dengan sokongan penyokong di Bukit Jalil, Safee yakin Malaysia mampu mencipta kejayaan yang diidamkan seluruh rakyat negara.