PENGENDALI skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi mahu para pemainnya lebih tenang dalam permainan dan kemenangan akan berpihak kepada skuad wanita kebangsaan apabila berhadapan Pakistan dalam perlawanan kedua Kumpulan A Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi.

Malayan Tigress diikat tuan rumah tanpa jaringan pada perlawanan pertama dan kini tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang keatas Pakistan jika mahu sasaran ke separuh akhir tercapai apabila kedua-dua pasukan bertemu pada Khamis.

Soleen bagaimanapun gembira dengan mentaliti mahu menang yang ditunjukkan setiap pemain dan dia menjangkakan keadaan fizikal pemain yang lebih baik dalam misi memburu tiga mata penuh.

“Persiapan kami berjalan dengan baik dengan fokus kini lebih terarah kepada memotivasikan pemain dengan memberikan maklum balas yang baik kepada mereka tentang apa yang telah dilakukan dalam latihan.

“Saya gembira dengan mentaliti mahu menang yang ditunjukkan para pemain terutama apabila mereka kecewa selepas perlawanan lalu dan ini adalah petanda yang baik kerana saya dapat rasakan penekanan terhadap mentaliti ini yang diterapkan dalam diri setiap pemain sudah menunjukkan hasilnya.

“Mereka mahu memenangi perlawanan seterusnya dan sangat bermotivasi dan kami kini sedang mempersiapkan pasukan dengan teknikal dan taktikal yang kami kekurangan ketika perlawanan pertama dan berharap para pemain belajar dari kesilapan masing-masing,” katanya.

Soleen positif dengan corak permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan dia mengharapkan peningkatan prestasi dapat dilihat ketika aksi kedua ini dan tidak ada pilihan lain kecuali kemenangan.

“Saya menjangkakan keadaan fizikal yang lebih baik kerana mereka dilihat sedikit terganggu dengan fizikal kerana mereka memerlukan masa untuk mengadaptasi keadaan di sini dengan perbezaan zon masa serta altitud yang lebih tinggi dan berharap dapat lihat perubahan dalam prestasi pemain ketika menentang Pakistan pada Khamis.

“Kami perlu menang ke atas Pakistan. Itu sahaja pilihan jika hendak ke separuh akhir dan sejujurnya pemain bermain baik ketika menentang Arab Saudi cuma mereka perlu lebih tenang dalam membuat keputusan tetapi apa yang penting mereka mencapai objektif permainan yang dimahukan,” jelasnya.

Sementara itu pemain yang berkelana ke Liga Kosovo, Lyana Sobri juga percaya dia dan rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan ini dan siapa pun yang diturunkan sudah bersedia untuk memikul cabaran membawa nama negara dan akan beraksi lebih baik berbanding aksi sebelum ini.

Malaysia sekali lagi akan beraksi di Stadium King Fahd Sports City untuk bertemu pasukan di ranking ke-157 dunia dengan tiga mata sangat diperlukan untuk layak ke separuh akhir.