HARAPAN Singapura untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 kini bergantung kepada perlawanan penentuan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Bagi skuad Lions, keputusan seri sudah memadai untuk layak, namun jurulatih mereka, Tsutomu Ogura, mengingatkan anak buahnya agar memperbaiki kelemahan mentaliti selepas kekalahan dramatik 4-2 kepada Thailand.

“Separuh masa pertama adalah 45 minit terbaik yang pernah saya saksikan daripada pasukan ini. Para pemain tidak takut, mereka membina serangan dari bawah, dan lawan kelihatan keliru,” kata Ogura selepas perlawanan di Stadium Nasional, Singapura.

The Lions mempunyai enam mata daripada tiga perlawanan dan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A.

Namun, jurulatih dari Jepun itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila melihat pasukannya gagal mengekalkan momentum tersebut selepas rehat.

“Thailand bermain lebih agresif pada separuh masa kedua… kami kehilangan penguasaan bola sedikit demi sedikit. Pasukan perlu memiliki mentaliti yang lebih kuat,” katanya tegas.

Perlawanan menentang Thailand itu menyaksikan Singapura mendahului 2-0 menerusi jaringan Shawal Anuar dan Faris Ramli, tetapi kelemahan di bahagian pertahanan membenarkan lawan bangkit dan meraih kemenangan.

Ogura mengakui pasukannya perlu mengelak daripada melakukan kesilapan sama jika mahu mengekang Malaysia di Bukit Jalil.

“Kami akan segera menganalisis lawan seterusnya, dan saya telah mengarahkan pemain untuk terus fokus,” tambahnya lagi.

Difahamkan, pasukan Singapura enggan ditemubual oleh media selepas perlawanan, menunjukkan mereka sudah mengalihkan perhatian sepenuhnya kepada misi penting di Kuala Lumpur.

Thailand mempunyai sembilan mata daripada tiga perlawanan dan menduduki tempat teratas dalam Kumpulan A.

Bagi Ogura, kekalahan kepada Thailand adalah pelajaran berguna, dan beliau mahu pasukannya bangkit dengan semangat juang yang lebih tinggi.

“Kami memerlukan mentaliti yang lebih kuat untuk mengharungi perlawanan ini. Jika kami dapat mengekalkan rentak seperti separuh masa pertama menentang Thailand, kami mampu mencipta sesuatu di Bukit Jalil,” katanya optimis.

Perlawanan menentang Malaysia bukan sekadar penentu nasib Singapura di peringkat kumpulan, tetapi juga pertembungan tradisi yang sarat dengan sejarah dan emosi.

Kini, terpulang kepada skuad Lions untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas terbesar ASEAN.