SELEPAS hanya mencatat keputusan seri dalam aksi pertama menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya kini bersiap sedia untuk perlawanan kedua Kumpulan A Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Rabu.
Ketua jurulatih negara, Pau Marti, menyatakan rasa teruja untuk kembali ke gelanggang keramat itu sambil menegaskan bahawa fokus utama pasukan adalah meraih tiga mata penting demi memastikan perjalanan Malaysia dalam kejohanan ini terus cemerlang.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Bukit Jalil. Kenangan memenangi Piala Merdeka di sini pada September lalu masih segar di ingatan.
“Bermain di laman sendiri adalah kelebihan besar, dan kami mahu memberikan persembahan terbaik bukan hanya untuk menang, tetapi juga untuk menghiburkan penyokong yang hadir ke stadium,” ujar Pau Marti dalam sidang media pra-perlawanan.

Pau Marti bersama ketua pasukan malaysia, Dominic Tan dalam sidang media pra-perlawanan.
Walaupun Timor-Leste tewas besar 0-10 di tangan Thailand dalam perlawanan pembukaan mereka, Pau menegaskan bahawa tiada perlawanan mudah dalam bola sepak, terutama apabila setiap pasukan akan memberi tentangan sengit.
“Semua perlawanan adalah sukar, tidak kira siapa lawannya. Kami perlu menunjukkan karakter dan tahap permainan yang tinggi. Untuk bermain bagi Malaysia, tiada istilah perlawanan mudah atau sekadar aksi persahabatan,” tambahnya.
Beliau juga menekankan pentingnya permulaan yang intensif untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan.
“Kami tidak boleh terlalu memikirkan jumlah gol. Fokus utama adalah menang, dan kami akan mendekati perlawanan ini dengan sikap serta intensiti yang tinggi dari awal.
“Ranking lawan bukanlah penentu, tetapi bagaimana kami bermain akan menjadi perbezaan.”
Dalam perkembangan terkini, Pau mengesahkan bahawa semua pemain kini berada dalam keadaan baik, termasuk tiga tonggak utama, Declan Lambert, Harith Haikal, dan Kalamullah yang kembali menyertai pasukan selepas terlepas aksi pertama.
Namun, beliau mengakui bahawa jadual padat tanpa masa latihan mencukupi dan ketiadaan aksi persahabatan sebelum kejohanan adalah cabaran besar yang perlu dihadapi.
Mengulas mengenai perancangan kesebelasan utama, Pau menjelaskan bahawa beliau akan menilai keadaan pemain, terutamanya selepas jadual padat, tetapi tetap memberi penekanan kepada pentingnya menang dalam perlawanan esok sebelum memikirkan aksi menentang Thailand hujung minggu ini.
“Kami ada 26 pemain, dan semua perlu bersedia. Esok adalah tugas utama, dan kami mahu menyelesaikannya sebelum memikirkan perlawanan seterusnya,” katanya.
Pau juga mengambil peluang untuk memuji pemain-pemain muda serta debutan yang diberikan peluang beraksi dalam kejohanan ini, sambil menyifatkan pengalaman ini sebagai momen bermakna buat mereka.
“Sebagai jurulatih, adalah satu keseronokan besar untuk memberi peluang kepada pemain-pemain baharu menunjukkan kebolehan mereka. Namun, keputusan akhir bergantung kepada bagaimana mereka mengambil peluang ini dan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Perlawanan menentang Timor-Leste esok akan menjadi ujian penting buat Harimau Malaya, bukan sahaja untuk mengutip tiga mata tetapi juga untuk memastikan keyakinan pasukan dan sokongan penyokong kembali memuncak.
Pau menegaskan bahawa matlamat utama pasukan adalah untuk mara jauh dalam kejohanan ini sambil mencipta suasana yang memukau di Bukit Jalil, sama seperti yang dirasai di Kemboja.

Keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang aksi Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 antara Malaysia dan Timor Leste esok.
“Semoga esok lebih ramai penyokong akan datang memberi sokongan. Motivasi kami adalah untuk membawa orang kembali ke stadium.
“Sokongan mereka sangat penting buat pasukan ini,” tegasnya.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan harapan tinggi untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan A.