CALON Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), PS Sugumaran, tampil dengan lima manifesto utama dalam usahanya untuk menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara sekiranya diberi mandat pada kongres yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Berbekalkan pengalaman lebih 14 tahun dalam kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Sugumaran optimis bahawa kepakarannya dapat membantu meningkatkan landskap bola sepak tanah air ke tahap lebih baik.
Antara agenda utama yang diketengahkannya adalah memperkukuhkan infrastruktur akar umbi dengan menyediakan kemudahan latihan serta kejohanan berkualiti di seluruh negara, bermula dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.
Selain itu, beliau juga bertekad untuk meningkatkan kualiti kejurulatihan dengan melaksanakan program latihan berterusan bagi jurulatih akar umbi, memastikan mereka memiliki ilmu dan kemahiran terbaik untuk membimbing bakat muda negara.

Tidak terhenti di situ, tiga lagi fokus utama dalam manifestonya adalah memperbanyakkan kejohanan peringkat akar umbi dari daerah hingga ke peringkat kebangsaan, memperkasakan bola sepak wanita serta golongan kurang upaya (OKU), dan menggalakkan penglibatan aktif komuniti serta ibu bapa dalam perkembangan pemain muda.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAS selama empat tahun, saya telah membantu menganjurkan lebih 1,600 perlawanan tahun lalu. Tahun ini, kami mensasarkan 1,800 perlawanan. Jika diberi tanggungjawab di FAM, saya akan membawa pengalaman ini ke peringkat kebangsaan bagi memastikan pengurusan pertandingan lebih sistematik dan efisien,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau juga berhasrat untuk memperbanyakkan liga kecil dan pertandingan akar umbi, bukan sahaja untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti, tetapi juga mempertingkatkan jumlah pengadil berbakat di Malaysia. Dalam masa yang sama, Sugumaran turut menegaskan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak wanita dan OKU dengan menganjurkan kejohanan khusus bagi golongan ini.
Sebagai rekod, pada tahun lalu sahaja, beliau berjaya menguruskan lebih 1,664 perlawanan merangkumi pelbagai kategori, daripada usia lapan tahun hingga ke liga terbuka. Kecekapan dan kepakarannya dalam aspek pengurusan pertandingan menjadikan beliau antara calon yang berkelayakan untuk jawatan Exco FAM.
Selain itu, Sugumaran juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam FAS, termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak Belia serta Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kongres Pemilihan FAM yang bakal berlangsung Sabtu ini turut menyaksikan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dijangka mengisi kerusi Presiden FAM yang ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.