PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mengukuhkan komitmennya bersama jenama VICTOR dengan melanjutkan kerjasama mereka sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Isnin, pemain ranking nombor 8 dunia itu mengumumkan perjanjian lanjutan selama empat tahun bersama pengeluar barangan sukan dari Taiwan tersebut, yang telah menjadi rakan kongsi setianya sejak beliau memulakan kerjaya profesional pada tahun 2022.

“Dengan penuh rasa gembira, saya ingin berkongsi berita baik ini bahawa saya akan terus bersama jenama kegemaran saya, VICTOR, dalam perjalanan menuju Olimpik LA 2028.

Saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan tanpa syarat mereka yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan ini. Tidak lupa juga kepada semua kakitangan yang bekerja keras dalam menjayakan kerjasama ini,” kata Zii Jia.

Dia turut meluahkan rasa syukur atas sokongan padu yang diterima sepanjang perjalanan kariernya, termasuk menghadapi pelbagai cabaran dan turun naik prestasi.

“VICTOR bukan sahaja menjadi rakan kongsi, malah sumber kekuatan terbesar saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang setia menyokong saya. Bersama VICTOR, saya berharap kita dapat terus menjadi pasukan yang kukuh dalam mengejar impian ke Olimpik LA2028,” tambahnya.

Keputusan VICTOR untuk meneruskan sokongan terhadap Zii Jia tidak mengejutkan memandangkan pengaruh besarnya dalam pemasaran global.

Sebagai bekas juara All England, Zii Jia memiliki pengikut media sosial yang luar biasa, dengan lebih 1.2 juta peminat, jauh mengatasi pemain perseorangan lelaki lain yang turut ditaja oleh VICTOR seperti Anders Antonsen dari Denmark (313,000 pengikut) dan Kodai Naraoka dari Jepun (172,000 pengikut).

Kejayaan ini juga membawa kepada penghasilan koleksi khas berjenama bersama, VICTOR X LZJ, yang menawarkan pelbagai produk eksklusif termasuk beg raket, baju-T, gelang tangan, tuala sukan, stokin, topi, dan botol air.

Dengan kerjasama yang kukuh ini, Zii Jia dan VICTOR dilihat berada di landasan tepat untuk terus mencipta sejarah dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.