SKUAD Harimau Malaya bakal memulakan kempen kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 pada Ahad apabila bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh dengan tidak banyak tekanan dan jangkaan diberikan dari para penyokong.
Pengendali kebangsaan, Pau Marti Vicente dalam tugasan terakhirnya dilihat mendapat kesukaran untuk membentuk skuad terbaik kerana kejohanan ini dilangsungkan di luar kalendar Fifa dan kelab-kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain ke kejohanan antarabangsa.
Namun begitu, ianya langsung tidak menganggu Pau yang dilihat berani memanggil muka-muka baharu dan pemain muda untuk membawa cabaran Malaysia mengulangi pencapaian muncul juara pada edisi 2010 yang lalu.
Untuk skuad ke Piala AMEC kali ini, purata umur pemain yang dipanggil Pau Marti adalah 25.7 tahun dan ianya konsisten dengan panggilan-panggilan kebangsaan sebelum ini sejak dia mengambil alih jawatan ketua jurulatih pada Ogos 2024.
Kerjasama dengan Juan Torres Garrido yang bertindak sebagai pembantu jurulatih serta ketua jurulatih skuad B-23 dilihat banyak membantu Pau mengesan bakat-bakat muda yang mempunyai kualiti antarabangsa untuk dibawa naik ke skuad utama.
Jika dilihat pada statistik, purata umur skuad pada kem latihan bulan Ogos dan September untuk Pestabola Merdeka adalah 27.2 manakala untuk perlawanan persahabatan di New Zealand, Pau Marti menyenaraikan barisan dengan purata umur 25.9 tahun.
Purata umur pemain semakin rendah pada panggilan bulan November dengan 25.8 tahun yang menyaksikan Malaysia menang keatas Laos dan mengikat India di Hyderabad untuk menamatkan musim kalendar Fifa 2024 dengan nota positif.
Sebagai jurulatih, Pau Marti pastinya mempunyai sasarannya sendiri untuk membawa pemain-pemain muda tetapi ianya baik untuk pembangunan bola sepak negara yang membuktikan kita tidak ketandusan pemain dan tidak mengharapkan pemain naturalisasi.
Meskipun begitu, skuad Piala AMEC kali ini sebenarnya ditunjangi dengan beberapa pemain senior yang berpengalaman seperti Kalamullah Al Hafiz, Adib Raop, Dominic Tan, Harith haiqal, Daniel Ting, Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos, Sergio Aguero, Paulo Josue dan Darren Lok.
Diatas kertas, Malaysia tidak mempunyai masalah untuk melepasi peringkat kumpulan namun Pau Marti sudah pasti tahu dalam bola sepak apa jua boleh terjadi dan persediaan rapi dan penggiliran pemain sangat penting untuk kekal bersaing di kejohanan ini.
Ayuh Harimau Malaya, tunjukkan belangmu.