PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilihat masih mempunyai sifat peduli kepada skuad Harimau Malaya meskipun dia sudah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tertinggi di Kelana Jaya itu.
Perkara ini dapat dibuktikan apabila Hamidin masih terbang ke Phnom Penh dan menyertai sesi latihan Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente bagi menghadapi perlawanan pembukaan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 menentang Kemboja.
Terdahulu pada Rabu, Hamidin mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi presidennya pada Kongres FAM yang akan diadakan pada Februari 2025 sekali gus bakal menyaksikan perubahan kepimpinan dalam FAM sejak 2018.
Bagi mereka yang mengenali Hamidin, beliau adalah seorang pemimpin yang ‘hands on’ dan sentiasa memastikan kebajikan para pemain terjaga bagi memastikan mereka dapat berjuang untuk negara dalam apa jua kejohanan yang ditandingi.
Menerusi hantaran yang dimuatnaik di laman sosial rasmi FAM, Hamidin dilihat berinteraksi dengan barisan kejurulatihan serta para pemain untuk memberikan semangat serta motivasi bagi memastikan tiga mata berjaya di bawa pulang dari laman lawan.
Hamidin adalah pemimpin yang memahami bola sepak kerana beliau bermula dari seorang ‘ball picker’ hingga dapat menjawat jawatan paling tinggi dalam bola sepak negara serta mempunyai pelbagai kejayaan di peringkat kelab bersama Selangor.
Semua pemain juga dilihat selesa dengan kepimpinan yang ditunjukkan dan ini membantu prestasi baik di dalam padang hingga akhirnya berjaya menghadiahkan satu piala Pestabola Merdeka kepada presiden ini.
Beliau juga boleh dikatakan sebagai salah seorang presiden yang sentiasa turun ke lapangan untuk menyertai pasukan di kem latihan selain bersikap mesra dengan pemegang taruh, pihak penaja dan juga rakan-rakan media.
Semoga Malaysia dapat mengulangi pencapaian muncul juara pada 2010 sekali gus bakal menjadi hadiah perpisahan terbaik bukan sahaja buat Hamidin tetapi juga buat barisan kejurulatihan yang akan meninggalkan pasukan sejurus tamat kempen di Piala Asean Mitsubishi Electric ini.