KEMENANGAN tipis 3-2 skuad Harimau Malaya ke atas Timor Leste dalam perlawanan kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 terus menjadi topik perbualan hangat peminat bola sepak tanah air.
Walaupun prestasi pasukan kelihatan bergelut, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal optimis dengan kemampuan skuad negara untuk melakar kejayaan dalam kejohanan ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, menekankan bahawa matlamat utama perlawanan adalah memungut tiga mata penuh, yang menjadi bekalan penting untuk perlawanan seterusnya di Bangkok.
“Pemain telah memberikan yang terbaik, begitu juga ketua jurulatih Pau Marti.
“Apa yang penting, kita berjaya kumpulkan tiga mata untuk dibawa ke Thailand,” katanya.
Skuad Harimau Malaya telah berlepas ke Bangkok pada pagi Khamis untuk menghadapi cabaran perlawanan ketiga peringkat kumpulan A, di mana mereka bakal bertemu gergasi bola sepak ASEAN, Thailand, di Stadium Rajamangala pada Sabtu ini.
Namun, persediaan skuad negara menghadapi sedikit kekangan apabila empat pemain utama dari Sabah iaitu Dominic Tan, Stuart Wilkin, dan Daniel Ting tidak dapat menyertai pasukan atas komitmen kelab.
Walaupun berdepan jadual padat dan kekangan pemain, Noor Azman yakin Pau Marti mampu merangka strategi terbaik untuk mengimbangi skuadnya.
“Saya yakin Pau Marti tahu cara untuk merangkai kombinasi pemain muda dan senior. Pemain yang dibawa mempunyai kualiti, dan insya-Allah mereka mampu memberikan aksi terbaik di Thailand,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai sasaran FAM dalam kejohanan ini, Noor Azman menegaskan harapan tetap tinggi untuk melihat skuad negara mara ke pentas final.
“Sasaran kami sudah semestinya ke final. Kami yakin dengan kemampuan Pau Marti untuk membimbing pasukan mencapai matlamat ini,” jelas beliau.
Perlawanan menentang Thailand bakal menjadi ujian terbesar buat skuad negara. Dengan reputasi sebagai juara bertahan serta kelebihan bermain di laman sendiri, Thailand memiliki barisan pemain berpengalaman yang pasti sukar digugat.
Namun begitu, Harimau Malaya dijangka memberikan tentangan sengit untuk merebut kedudukan terbaik dalam kumpulan.
Noor Azman ditemui selepas majlis pelancaran jam tangan edisi terhad CAT X HARIMAU MALAYA di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam majlis tersebut, FAM turut merakamkan penghargaan kepada Caterpillar Marco Worldwide atas pelancaran edisi kedua jam tangan edisi terhad CAT X HARIMAU MALAYA. Selepas kejayaan edisi pertama, edisi kali ini menawarkan sebanyak 600 unit eksklusif kepada peminat bola sepak tanah air dengan harga RM399.
“Kami mengalu-alukan sokongan daripada semua peminat Harimau Malaya untuk memiliki jam tangan ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan kebangsaan,” kata Noor Azman.