PASUKAN skuasy lelaki Malaysia memulakan kempen Kejohanan Dunia Berpasukan 2024 dengan penuh bergaya apabila berjaya menewaskan Scotland 2-1 dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Hong Kong Football Club, Hong Kong, pada Selasa.

Kemenangan ini memberikan suntikan semangat buat skuad negara yang kini bersiap sedia menghadapi cabaran seterusnya menentang Filipina.

Tonggak utama skuad negara, Ng Eain Yow, menjadi penyumbang mata pertama selepas mencatat kemenangan dramatik ke atas Greg Lobban. Dalam pertarungan sengit selama 1 jam 7 minit, Eain Yow bangkit daripada ketinggalan dua set untuk mencatat kemenangan 8-11, 10-12, 11-8, 11-5, 11-5.

Aksi yang berlangsung d Hong Kong. FOTO: WSF

“Satu kemenangan yang baik buat pasukan pagi ini. Saya dan Sanjay berjaya bangkit selepas ketinggalan 2-0, dan ini satu pencapaian besar.

“Scotland adalah lawan yang sukar hari ini, dan kami gembira dapat melepasinya. Fokus kami kini adalah menentang Filipina dan memastikan tugasan seterusnya selesai,” kata Eain Yow selepas perlawanan.

Mata kemenangan kedua Malaysia disumbangkan oleh Sanjay Jeeva, yang turut menunjukkan semangat juang tinggi apabila menewaskan Rory Stewart 7-11, 9-11, 11-8, 11-8, 11-2 dalam pertarungan selama 1 jam 10 minit.

Eain Yow beraksi penuh bertenaga mengatasi Greg Lobban. FOTO:WSF

Walaupun Adden Idrakie tewas kepada Alasdair Prott 6-11, 9-11, 8-11 dalam perlawanan ketiga, keputusan keseluruhan tetap memihak kepada Malaysia dengan kemenangan 2-1.

Skuad negara kini bersiap sedia untuk menghadapi pasukan Filipina dalam perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung pada jam 5:30 petang ini. Jika momentum kemenangan ini dapat diteruskan, peluang Malaysia untuk melangkah jauh dalam kejohanan ini semakin cerah.