PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pelantikan Robert Douglas Friend sebagai langkah strategik yang akan membawa impak positif kepada skuad Harimau Malaya.

Menurutnya yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), pengalaman dan kepakaran Rob Friend dalam mengurus serta membangunkan pasukan akan memberikan dimensi baharu kepada bola sepak Malaysia.

“Keputusan terbaik adalah melantik seorang jutawan yang sangat berkelayakan, mempunyai pengetahuan mendalam tentang bola sepak, memiliki rangkaian luas dalam dunia bola sepak, dan seseorang yang benar-benar mencintai sukan ini.

“Dengan kelayakan ini, jika suatu hari nanti Malaysia tidak lagi memerlukan khidmatnya, JDT pasti akan menyambutnya dengan tangan terbuka,” katanya di Instagram Story.

FAM hari ini mencipta sejarah baharu dalam landskap bola sepak negara dengan mengumumkan pelantikan Robert Douglas Friend, atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha FAM untuk merevolusi struktur organisasi skuad Harimau Malaya demi melonjakkan pencapaian di pentas antarabangsa.

Rob Friend, seorang tokoh bola sepak yang dihormati dengan pengalaman luas dalam pengurusan sukan dan pembangunan pasukan, dilihat sebagai pilihan tepat untuk menerajui visi baharu FAM.

ARTIKEL BERKAITAN : Rob Friend dilantik CEO Harimau Malaya

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif bola sepak profesional di Kanada dan Eropah, serta menjadi penggerak utama dalam pembangunan akademi bola sepak di negaranya.

Pelantikan ini menandakan era baharu bagi bola sepak Malaysia, dengan tumpuan utama diberikan kepada profesionalisme, keberkesanan, dan pencapaian berterusan.

Semoga Harimau Malaya terus mengaum dengan penuh semangat di bawah kepimpinan baharu ini!