JURULATIH  Bawah-19 (B-19) Selangor FC, Muhammad Firdaus Aziz sedar kelebihan satu gol masih belum mencukupi untuk berasa selesa ketika bertandang ke tempat lawan dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 26 Ogos ini.

Pada aksi pertama Final 1 Piala Belia, Selangor FC berjaya mendahului pasukan pelawat dengan gol tunggal hasil jaringan Harry Danish Haizon.

Jelasnya, barisan serangan perlu lebih tajam dalam melakukan penyudah namun tempoh seminggu akan digunakan sebaik mungkin untuk aksi di Temerloh.

“Satu gol belum mencukupi. Kita mengharapkan tetapi kredit kepada pemain kerana mereka memberikan yang terbaik. Kita akan jumpa di penghujung nanti.

Jaringan Harry Haizon membawa Selangor FC menang 1-0 bertemu Sri Pahang FC

“Barisan terakhir kita perlu lebih tajam lagi untuk penyudah dan InshaAllah kita ada seminggu untuk membuat persiapan. Ada sedikit saya rasa kita boleh membuat lebih baik, namun secara keseluruhan saya bersyukur Alhamdulillah.

“Saya nasihatkan pemain… anda adalah pemain elit, nikmati tekanan itu, nikmati tekanan itu,” ujarnya kepada media selepas tamat perlawanan Akhir 1 Piala Belia 2022.

Sementara itu, pengendali pasukan muda Sri Pahang FC, Bahazenan Osman mengakui punca kekalahan pasukannya malam ini adalah disebabkan kelonggaran pada arkitek tengah skuad kendaliannya.

Jurulatih Sri Pahang FC (B-19), Bahazenan Osman

Kesilapan tersebut telah mengundang Selangor FC untuk menguasai perlawanan dan mencipta lebih banyak gerakan berbahaya.

Dalam pada itu, dia menjelaskan telah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam aksi timbal balik kerana pemain telah melakukan persiapan sekiranya perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan dan sepakan penalti.

Sebahagian dari aksi Selangor FC (B-19) bertemu Sri Pahang FC (B-19) di Stadium UITM, Shah Alam

“Saya rasa bahagian tengah  kita bermain terlalu longgar. Kita terlalu memberi pasukan Selangor bermain terlalu banyak dan kita tidak beri tekanan kepadanya.

“Sebenarnya, saya pun sudah ingatkan pemain, perlawanan ini tidak semestinya habis dalam 90 minit dan kena bersedia untuk 180 minit dan mungkin lebih daripada itu. Jadi saya rasa tiada masalah kerana pemain telah disiapkan bagi perkara tersebut,” katanya.