PENYERANG Maybank Shahmie Irfan Suhaimi menjadi pilihan pengendali Malaysian Tigers, A Arul Selvaraj, bagi menggantikan Muhammad Sahhril Saabah yang mengalami kecederaan hamstring kiri, ketika berdepan Chile, kelmarin.
Shahmie, 20, akan membuat penampilan pertama pada perlawanan ketiga kumpulan C Piala Dunia menentang New Zealand, esok biarpun pemain itu tidak berpengalaman di pentas antarabangsa.
“Pemilihan Shahmie dibuat kerana dia mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi yang cenderung untuk menyerang. Dia mempunyai keyakinan diri tinggi jadi saya mahu dia sertai pasukan dan enjoy the moment atas padang,” kata Arul.
Sebelum ke Odisha untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2023, Arul menamakan 18 + 2 pemain simpanan, iaitu Shahmie dan Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim yang sudah memiliki 12 kaps antarabangsa.

A. Arul Selvaraj
Sementara itu, Arul berkata, kemasukan Shahmie itu bersesuaian dengan corak taktikal yang beliau mahu terapkan pada perlawanan menentang New Zealand esok.
“Menentang New Zealand, kita mahu build up tactical approach. Jadi saya mahu pemain turun dengan kepercayaan kepada diri sendiri, kepada pasukan dan rakan.. itu formula terbaik menghadapi perlawanan itu.
“Saya pasti New Zealand akan tampil agresif dan mengekang kawalan kita lebih tinggi.”
Selain itu, Arul menekankan taktikal dan disiplin serta fokus kepada pukulan sudut penalti pada perlawanan itu.
Dalam dua perlawanan terdahulu menentang Belanda dan Chile, Malaysia memperolehi 14 pukulan sudut penalti namun hanya satu berjaya diterjemahkan kepada gol dan perkara ini dipandang serius oleh pengendali negara itu.
“Sesi latihan pada hari ini berjalan dengan lebih taktikal dan disiplin berdasarkan pelan permainan kita menentang New Zealand terutama dari segi build up dan pressing serta juga lebih fokus kepada pukulan sudut penalti dengan perincian seperti ‘drag distance’ yang kita perlukan untuk kita mendapatkan gol dari pukulan sudut penalti.”

Shahril Sa’abah mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan
Malaysian Tigers kini mengumpul tiga mata, terikat bersama New Zealand (menang sekali dan kalah sekali) namun dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan kedua-dua pasukan berebut tempat kedua kumpulan dan perlawanan terakhir menentang skuad Kiwi pada Khamis itu bakal menjadi penentu siapakah lawan Malaysia di dalam usaha mendapatkan satu lagi slot ke peringkat suku akhir.