Select Page

Syihan dan Sharul Nazeem tersenarai dalam pilihan All Star XI Piala AFF

Syihan dan Sharul Nazeem tersenarai dalam pilihan All Star XI Piala AFF

DUA pemain Harimau Malaya, penjaga gol Syihan Hazmi dan pertahanan tengah, Sharul Nazeem Zulpakar tersenarai dalam pilihan untuk All Star XI Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Syihan yang menjadi tunjang utama skuad kebangsaan hingga ke separuh akhir disenaraikan bersama-sama dengan Dang Van Lam dari Vietnam, Nadeo Arga Winata dari Indonesia, Keo Soksela dari Kemboja dan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny..

Penjaga gol kebangsaan itu berjaya menyelamatkan 18 percubaan sepanjang kejohanan ini serta berjaya mencatat dua ‘clean sheet’ ketika bertemu Myanmar dan juara, Thailand ketika final pertama di Bukit Jalil membuktikan mengapa dia dipilih menjaga gawang skuad negara.

 

Walaupun baharu merekodkan sembilan penampilan bersama Harimau Malaya, ketangkasan Syihan berjaya menarik perhatian peminat bola sepak dan kemuncaknya dia dilamar Johor Darul Ta’zim untuk beraksi pada musim 2023.

Sharul Nazeem pula terpaksa bersaing dengan sembilan lagi pemain pertahanan terbaik seluruh Asia Tenggara namun ianya pencapaian yang baik buat pemain berusia 23 tahun ini.

Sharul berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebanyak 19 kali dan melakukan lapan hadangan untuk membantu Malaysia layak ke separuh akhir bersama-sama Dominic Tan.

Ketika ramai yang tidak memberikan peluang kepada skuad muka baharu Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir, Sharul adalah salah satu pemain yang menunjukkan kesungguhan untuk membuktikan kritikan itu salah.

Ianya juga adalah tahun yang bermakna buatnya selepas melakukan debut di peringkat antarabangsa dan kini pastinya akan mengintai tempat untuk terus dipilih Kim Pan-gon untuk ke Piala Asia.

Penyokong yang mahu mengundi kedua-dua pemain ini bagi memastikan mereka berada dalam senarai All Star XI Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 boleh berbuat demikian di sini ALL STAR XI

 

 

Video Terkini

Loading...