LAGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menganggap, atlet yang akan menggalas cabaran ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bertuah dengan kewujudan Projek Road to Gold (RTG), dan mengandaikan ia muncul pada masa yang salah.

Bekas pemenang tiga pingat perak Olimpik dalam tiga temasya berturut-turut itu berkata, kehadiran dirinya,dalam jawatankuasa RTG bersama bekas pemain hoki Datuk Mirnawan Nawawi dan juga Datuk Nicol David sebagai Timbalan Chef de Mission, diharap dapat membantu barisan atlet yang akan tersenarai dalam projek itu.

“Kami dalam jawatankuasa ini, saya, Datuk Nicol dan Datuk Mirnawan akan berikan sokongan padu dan apa yang diperlukan untuk kebaikan atlet kita.

“Tapi perlu diingatkan, 85 peratus kejayaan akan datang dari atlet itu sendiri manakala 15 peratus lagi dari faktor lain seperti kami dalam jawatankuasa ini, akan sentiasa membantu, barisan jurulatih dan sebagainya.

 

Lee Zii Jia kekal dengan pendirian mahu bergerak solo tanpa jurulatih.

 

“Kami akan bantu dari segi persiapan, terutamanya dari segi mental. Saya tiada masalah berkongsi pengalaman empat kali beraksi di Sukan Olimpik, apa saya lakukan jika saya tertekan, begitu juga dengan Datuk Nicol,” kata Chong Wei, pada sidang media Penubuhan Jawatankuasa ‘Road To Gold’, di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

Melihatkan kesungguhan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia) MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menubuhkan Jawatankuasa RTG, Chong Wei sempat berseloroh menganggap dia muncul pada zaman tidak sepatutnya.

“Saya rasa i come out from the wrong time because this is a good team, and all want to help the athlete.

“Dari segi masa… saya rasa ini masa yang terbaik buat Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Datuk Azizulhasni Awang.

“Saya mula ke Sukan Olimpik pada 2008, bersama Datuk Azizul, dan Datuk Azizul bakal beraksi di Olimpik untuk tahun Ke-20, jika mengikut kitaran empat tahun sekali penganjuran Olimpik, kerana dia akan beraksi buat kali kelima,” kata Chong Wei yang benar-benar mengharapkan agar dia dan ahli jawatankuasa RTG dapat membantu memberi manfaat kepada atlet yang bakal beraksi di Paris 2024.