SATU lagi pencapaian cemerlang tercatat dalam sejarah boling negara apabila skuad lelaki negara berjaya menjuarai Piala Dunia IBF 2025 baru-baru ini.
Pasukan negara yang diwakili oleh Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, dan Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Haznul Azam, mencipta kejayaan yang membanggakan selepas mengharungi saingan sengit.
Timmy Tan, salah seorang pemain utama dalam kejayaan ini, berkongsi pengalamannya mengenai perjalanan skuad dalam kejohanan ini.
Timmy mengakui prestasi dalam acara individu tidak begitu memberangsangkan pada awalnya, namun selepas berbincang dengan jurulatih dan melakukan sedikit perubahan pada permukaan bola, ia memberi impak positif kepada permainan dalam acara berpasukan.
“Bola berfungsi dengan baik dalam acara berpasukan, walaupun kami kalah dalam beberapa perlawanan pada hari kedua, ia masih cukup untuk meletakkan kami dalam kedudukan yang baik,” kata Timmy ketika ditemui di KLIA, pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai strategi pasukan dalam perlawanan akhir, Timmy menceritakan tentang perbincangan yang dilakukan sebelum separuh akhir.
Mereka mengambil pendekatan tenang dan saling memberi sokongan, tanpa menunjukkan emosi negatif.
“Kami hanya fokus untuk bermain kerana ini juga pertama kali antara kami bermain boling di dalam Stadium.
“Jadi kamu duduk, tenang dan saling menyokong antara satu sama lain, dan strategi itu berhasil,” tambahnya.
Sementara itu, Timmy juga tidak dapat lari daripada isu potongan elaun yang berlaku selepas prestasi yang kurang memberangsangkan dalam Sukan Asia sebelum ini.
Mengenai masa depannya, Timmy mengakui bahawa kejayaan ini memberi dorongan kepadanya untuk terus berusaha lebih keras.
“Saya menantikan Kejohanan Dunia pada akhir tahun ini yang akan diadakan di venue yang sama.
“Kemungkinan ini akan memberi sedikit kelebihan kerana kami sudah beraksi di sana.
“Harapan saya semestinya untuk mewakili negara dalam setiap kejohanan yang ada tetapi keputusan akhir bergantung pada Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).
“Apa yang boleh saya lakukan adalah memberi yang terbaik dan memberikan kejayaan untuk pasukan,” jelas Timmy.
Semoga kejayaan atlet boling negara ini bukan sahaja akan mencipta lebih banyak sejarah, tetapi juga memberi semangat kepada seluruh negara untuk terus menyokong dan mengembangkan sukan boling di Malaysia.