PENYERANG Manchester City, Erling Haaland berkongsi bagaimana saat kejuaraan Manchester City pada 2012 menyemarakkan impiannya untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Haaland dan bapanya duduk di sofa rumahnya sambil menonton kejayaan Manchester City di Bryne, Tenggara Norway sedekad lalu yang menjadi antara hari yang tidak boleh dilupakan oleh penyerang baharu itu.

Pada tengah hari itu, jaringan dramatik Sergio Aguero pada minit 93:20 mengesahkan kejuaraan liga Manchester City untuk musim 2012 itu mengujakan Haaland bersama bapanya yang juga mantan kapten City, Alfie Haaland.

Erling dan Alfie Haaland

“Saya masih ingat saat itu. Ianya bagaikan baru berlaku semalam. Ianya sangat gila. Segalanya adalah tentang kemenangan dan ianya adalah saat buat kelab kami muncul juara dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

“Kami selesa menonton perlawanan itu dan bapa saya juga teruja seperti saya dan perkara menjadi gila. City ketinggalan kepada QPR yang bermain 10 pemain ketika itu dengan Manchester United dilihat sudah hampir pasti muncul juara liga.

“City adalah pilihan tetapi kami ketinggalan dan ianya cukup meresahkan sehinggalah Edin Dzeko menjaringkan gol untuk menyalakan kembali harapan tetapi masa dilihat semakin suntuk buat kami sebelum jaringan Aguero.

“Gol kemenangan itu berasa sungguh aneh. Mario Balotelli terjatuh tetapi masih sempat menolak kepada Aguero yang sambil menutup mata merembat kencang ke gawang dan selepas itu bermulanya kegilaan.

“Saya dan bapa melompat dari sofa dan berlari sekeliling ruang tamu sambil menjerit. Ianya sungguh mengujakan dan saat itu sangat istimewa, momen yang sangat hebat buat kami,” kongsi Haaland.

Ketika menonton kejayaan itu pada 2012, Haaland tidak tahu yang dia akan bermain untuk City mengisi tempat Aguero dan mengikut jejak langkahnya apabila menjaringkan dua gol pada aksi debut di Liga Perdana Inggeris.

Kini selepas tiga perlawanan liga, penyerang kebangsaan Norway itu sudah menjaringkan tiga gol dan kini bersedia diturunkan untuk perlawanan menentukan Crystal Palace hujung minggu ini.

Haaland yang berpindah ke Manchester City dari Borussia Dortmund dengan kadar £51 juta dijangka akan menjadi salah seorang penjaring prolifik Liga Perdana Inggeris bersaing dengan Mohammad Salah dan Jamie Vardy.