DETIK yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Malayan Tigress B-20 menutup kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 dengan kemenangan bermakna 2-0 ke atas Guam, sekali gus menyelamatkan maruah bola sepak wanita negara selepas berdepan kritikan hebat sejak beberapa aksi terdahulu.
Bermain di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, skuad bimbingan ini menurunkan Diana Syafiqah di gawang, kapten berjiwa kental Dhiyaa Addin di benteng, manakala penyerang berbisa Kaseh Carlmila mengetuai jentera serangan. Guam pula mempertaruhkan Sierra Ruehl di gawang, Lexi Taitague sebagai ketua pasukan dan penyerang utama, Hinengi San Nicolas.
Aksi separuh masa pertama berlangsung pantas dengan kedua-dua pasukan mencari kemenangan sulung kempen. Malaysia menguasai permainan dan melepaskan beberapa percubaan berbahaya, namun ketangkasan benteng Guam memaksa kedudukan kekal 0-0 hingga rehat.
Segalanya berubah pada minit ke-64 apabila Kaseh Carlmila meledak rembatan cantik untuk membuka akaun jaringan Malayan Tigress. Gol itu membakar semangat pasukan yang bermain penuh disiplin untuk mengekang asakan Guam, sebelum Kaseh sekali lagi menghukum lawan dengan gol kedua yang mematikan sisa kebangkitan pelawat.
Sorakan penonton menjadi saksi, Malaysia menutup tirai kelayakan dengan tiga mata penuh dan sifar bolos – kemenangan yang bukan sahaja menjadi penawar duka, malah bukti bahawa semangat juang dan keyakinan mampu mengubah persepsi terhadap bola sepak wanita negara.