PENYOKONG Harimau Malaya, Yahya Sagat berkongsi minatnya dalam sukan bola sepak dan mengikuti perkembangan skuad kebangsaan sejak remaja lagi.
Jelas Yahya, dia kini agak gembira dengan sentuhan ketua jurulatih Kim Pan-gon yang mengamalkan permainan pantas.
“Pertahanan dengan pemain tengah kena hidup, penyerang kena memainkan peranan yang penting.
“Safawi atau pun Akhyar, Syafiq Ahmad ataupun Darren Lok perlu diturunkan.
“InsyaAllah daripada taktikal dan permainan malaysia yang laju, melepasi, mungkin juara kumpulan masuk ke peringkat akhir,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Bagaimanapun, anak jati kelahiran Perak tidak berselindung dengan kekecewaan dengan prestasi dua pemain naturalisasi yang tidak menunjukkan impak positif kepada pasukan terutama Guilherme de Paula.
Penyokong berusia 55 tahun itu menegaskan terdapat ramai lagi pemain tempatan yang difikirkan lebih layak menggantikan posisi pemain naturalisasi tersebut dengan mempamerkan corak persembahan yang jauh lebih baik.
“Saya semenjak hari itu tidak minat De Paula. Sumareh dulu pun saya minatlah, sejak kebelakangan ini, dia punya prestasi pun sudah menurun.
“Dia pun tak banyak minit permainan di JDT. Ada yang lebih baik lagi daripada pemain naturalisasi dua orang ini, iaitu pemain tempatan tetapi tidak dibawa masuk.
“Kalau midfield, Afiq Fazail, Matyo pun bolehlah. Kalau penuh stadium, menggetar jugak laa pasukan lawan, ini gelanggang keramat kita kan,” tambahnya.
Pasukan bolasepak negara akan turun menentang Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia peringkat kumpulan E, jam 9 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.