PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj tampil membuat penjelasan mengenai isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kini menjadi perbualan hangat di kalangan penyokong-penyokong bola sepak tanah air.
Menurut Chris, penjagaan dan kualiti padang SNBJ bukan terletak pada bahu FAM, sebaliknya ia adalah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Amat tidak wajar untuk menuding jari kepada FAM. FAM hanya bertindak selaku pengguna (penyewa) seperti persatuan-persatuan sukan lain yang turut menyewa fasiliti milik PSM.
“Justeru, PSM sebuah badan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sewajarnya ditadbir, diurus oleh mereka yang mempunyai kepakaran di dalam menguruskan fasiliti milik mereka khususnya Stadium Nasional Bukit Jalil,” kongsinya dalam satu segmen Nindia Bola di Astro Arena pada Isnin malam.
Dalam pada itu, Chris turut berharap perlu ada penyelesaian yang konkrit bagi isu penyelenggaraan stadium keramat negara ini.
“Kita tidak mahu lagi lihat para petugas menggunakan penyodok sampah membuang air dari padang ibarat ‘bagai tikus membaiki labu’,” tambahnya.
Isu padang SNBJ menimbulkan pelbagai reaksi selepas tular video beberapa staf PSM menggunakan penyodok sampah dan kadbod mengeluar takungan air di padang selepas hujan lebat lebih kurang dua jam sebelum aksi Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 di antara Bahrain dan Malaysia Sabtu lalu.